Situasi pandemik COVID 19 yang sudah pun memasuki tahun kedua ternyata tidak menjadi penghalang buat UiTM Cawangan Pahang untuk terus menyantuni masyarakat sekitarnya. Mengambil kira pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), pertandingan video ulasan buku berbahasa Inggeris secara maya “Read & Review 2021” telah diadakan oleh Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka bermula 31 Mei 2021 hingga 14 Jun 2021 yang lalu. Program yang melibatkan para pelajar tahun 3 hingga 6 dari Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat ini bertujuan memupuk budaya membaca bahan bacaan berbahasa Inggeris dan memantapkan lagi kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar sekolah.
Program Read & Review 2021 ini adalah merupakan susulan program rintis Gift of Reading, iaitu sebuah projek Usahasama Pintar antara UiTM Cawangan Pahang dan Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat. Bermula dari pemeteraian memorandum pada Disember 2020 yang lalu, pelbagai gerak-kerja telah diusahakan bagi memastikan pelaksanaan program susulan terlaksana dengan jayanya. Alah bisa tegal biasa, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik dan arahan terkini dari pihak berkuasa, Read & Review 2021 akhirnya dapat direalisasikan. Hasil penjurian keatas 33 penyertaan, adik Ahmad Ruzain Zahrin bin Sabaruddin dari kelas 4 UKM telah berjaya menduduki tempat pertama, diikuti adik Nur Ariana Maisarah binti Azmi (6 UM) dan adik Nurul Aafiya binti Muhammad Ferdaus (3 UKM). Selain daripada hadiah wang tunai dan sijil kemenangan, para pemenang turut menerima senaskah Kamus Dwibahasa Oxford dari Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang sebagai galakan untuk mereka memperkayakan lagi perbendaharaan kata dan ilmu Bahasa Inggeris yang lain.
Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang, sepertimana pusat-pusat akademik yang lain, sentiasa optimis dan jitu berusaha dalam memastikan kelestarian program-program yang berpaksikan Matlamat Pembangunan Lestari Ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti. Ianya seiring dengan usaha UiTM dalam mencapai ketampakan (visibility) tersendiri, agar simbiosis yang mantap dapat terus dikekalkan antara UiTM dan setiap komuniti yang wujud dipersekitarannya.
Semoga dengan adanya usaha murni ini, UiTM Cawangan Pahang selaku salah sebuah institusi pendidikan terulung di Pahang sentiasa berusaha untuk terus memberi impak positif kepada komuniti sekitar. Diharapkan juga agar Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang dapat terus menyediakan program kemasyarakatan berimpak tinggi bagi memperkukuhkan lagi kemahiran bahasa anak-anak setempat.