30 Januari 2024 – Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Jasin Melaka, Profesor Madya Ts. Dr Fazleen Abdul Fatah bersama dua wakil pensyarah FPA telah menghadiri Mesyuarat Kerjasama Strategik antara Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Jabatan dan Agensi Pengembangan di Negeri Melaka. Turut hadir wakil dari Pusat Koreksional Jasin, Penjara Agro Dusun Dato’ Murad, Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA, Kg. Seri Mendapat dan Chai Brother Agrotech Solution Enterprise PLT serta pegawai MARDI di Melaka.
Antara intipati utama mesyuarat ini adalah untuk membincangkan berkenaan dengan kaedah pemindahan teknologi yang dihasilkan oleh MARDI kepada industri dan golongan sasar yang terlibat dalam pengeluaran tanaman seperti padi, buah-buahan, sayur-sayuran, komoditi agromakanan serta pemprosesan makanan. Program ini bertujuan untuk memperkasakan aktiviti pertanian, penternakan dan pengeluaran makanan negara, agar ia dapat memenuhi keperluan populasi penduduk Malaysia yang semakin meningkat melalui penggunaan Teknologi yang dihasilkan oleh pihak MARDI.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Johaary bin Abdul Hamid, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan, MARDI Linggi, Melaka. Sesi mesyuarat dimulakan dengan pembentangan oleh pihak MARDI berkenaan dengan fungsi, peranan dan mandat yang diberikan kepada MARDI untuk meningkatkan aktiviti keusahawan dan taraf hidup masyarakat. Teknologi MARDI merangkumi pelbagai aspek dan peringkat pengeluaran makanan yang bermula dengan pembangunan varieti tanaman dan baka ternakan, pengeluaran tanaman dan ternakan, kawalan penyakit dan perosak, pengendalian dan pengurusan lepas tuai, pembangunan produk serta kajian pasaran dan sosioekonomi sektor pertanian negara. MARDI turut berkongsi beberapa kisah kejayaan usahawan dan individu yang telah menyertai pelbagai program yang telah dianjurkan. Antara program keusahawanan yang dilaksanakan adalah Agropreneur Muda, Usahawan Bimbingan, Projek Perintis, dan pelbagai khidmat nasihat, serta bantuan lain seperi analisa makmal dan pembangunan produk usahawan.
Ahli mesyuarat juga berpeluang melawat ke tapak penghasilan minyak pati dan seterusnya melihat demonstrasi proses penghasilan minyak pati dan Sabun Homemade Berherba di Inkubator Penyulingan Minyak Pati. Mesyuarat ini bukan sahaja telah memberi peluang kepada pihak FPA untuk turut membantu dalam proses pemindahan Teknologi MARDI, malah, ia dapat menjadi satu platform dalam menyebarkan maklumat kepada pelajar, dalam usaha menarik minat graduan untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan selain dapat mewujudkan lebih banyak lagi jaringan industri bersama semua agensi dan usahawan yang hadir agar ia dapat menyumbang ke arah peningkatan pengeluaran makanan negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.