PEMERIKSAAN DOKUMEN DIPERSOAL DALAM SAINS FORENSIK

Pemeriksaan dokumen yang dipersoal ialah salah satu bidang dalam sains forensik . Tujuan utama pemeriksaan dokumen ini adalah untuk memberi kesahihan dokumen sama ada ia telah diubah dan bagaimana ia diubah dengan menggunakan pelbagai kaedah saintifik untuk dibuktikan di mahkamah. Pemeriksaan dokumen ini meliputi pelbagai aspek seperti pengubahan dan pemansuhan tulisan tangan, analisis kertas yang digunakan, pemalsuan tulisan tangan menggunakan pen yang berbeza, menentukan kesahihan tulisan tangan, perbezaan dakwat pen yang digunakan dan sebagainya.

Dokumen yang dipersoalkan adalah dokumen yang mencurigakan daripada kesahihanya. Ia terdiri daripada kontrak, wasiat, cek bank, surat-menyurat tulisan tangan, diari, rekod perubatan,dokumen yang dihasilkan oleh mesin pencetak,dokumen elektronik dan sebagainya.

Pemeriksa dokumen yang dipersoal adalah individu yang membantu polis untuk menyelesaikan kes jenayah yang melibatkan pemalsuan dokumen. Objektif utama pemeriksa dokumen adalah untuk mewujudkan hubungan antara dokumen, medium yang digunakan dan proses penulisan dalam dokumen dipersoal.

Semasa menjalankan pemeriksaan, pemeriksa dokumen dipersoal memerlukan dokumen perbandingan yang diketahui sumbernya seperti jenis kertas yang digunakan, jenis dakwat atau pen yang digunakan, masa tulisan tangan atau cetakan dibuat, mesin cetakan yang digunakan dan sebagainya. Ini adalah penting supaya pemeriksa dapat membandingkan ia dengan bahan yang dipersoalkan. Teknik tidak merosakkan (non-destructive) adalah teknik yang sering digunakan di dalam pemeriksaan dokumen. Teknik ini menggunakan cahaya, Pembanding Spektrum Video (VSC), Mikroskop kamera, Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA) atau spektroskopi inframerah transformasi fourier (FTIR) bagi mendapatkan bukti pemalsuan sesuatu dokumen itu. Selain daripada itu, terknik merosakkan (destructive) seperti kromatografi cecair atau kromatografi gas tidak jarang digunakan dalam analsis dokumen dipersoal kerana ianya memerlukan penyingkiran sampel dakwat dalam kuantiti yang kecil daripada dokumen yang dipersoalkan. Proses ini akan merosakkan dokumen dan sebagai bahan bukti di dalam kes jenayah.

Untuk menjadi pakar dalam bidang pemeriksaan dokumen bukanlah satu jalan yang singkat. Ia memerlukan kelulusan dalam bidang sains seperti Kimia atau Sains Forensik dan mahir dalam pengendalian instrumen analitikal. Selain itu, latihan dan kemahiran juga diperlukan seperti latihan amali, penyertaan dalam perbicaraan mahkamah yang melibatkan kes dokumen yang dipalsukan, penyediaan laporan analisa dan sebagainya. Di Malaysia, universiti awam dan swasta ada menawarkan program berkaitan Sains Forensik di peringkat Sarjana Muda dan pascasiswazah. Program ini menyediakan bakal graduan yang mahir di dalam analisis saintifik bahan bukti dan juga hal hal berkaitan dengan pengurusan jenayah.