Bandar Sri Damansara, 8 Ogos 2024 – Masjid Al Mukarramah telah menjadi tuan rumah kepada program pendidikan mengenai diet rendah karbohidrat sebagai terapi tambahan dalam merawat penyakit diabetes. Program ini dianjurkan oleh penyelidik dari Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Puncak Alam yang menerima Geran Komuniti CE-SIR (Kod Geran RD/92/007/2023) dan telah menarik seramai 60 orang kariah dari masjid.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kariah mengenai penyakit diabetes. Sesi interaktif diadakan untuk mengenalpasti tahap pengetahuan asas kariah tentang penyakit ini, membantu mereka memahami risiko dan cara pencegahannya. Penceramah pakar yang terlibat termasuk Dr. Siti Norsyafika, pensyarah dari Jabatan Farmakologi, Dr. Mazapuspavina, dan Profesor Madya Dr. Ilham Ameera, pensyarah dari Jabatan Perubatan Keluarga. Mereka bukan sahaja memberikan pendedahan tentang simptom dan kesan sampingan diabetes, tetapi juga memberikan pengenalan tentang diet rendah karbohidrat sebagai satu cara untuk menguruskan penyakit ini dengan lebih berkesan.
Para peserta berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan rendah karbohidrat yang disediakan oleh pembuat makanan khusus dalam diet ini, memberi mereka idea tentang pilihan makanan yang lebih sihat. Selain itu, sesi ini menekankan pemilihan makanan yang sesuai bagi pesakit kencing manis serta cara mengurus pemakanan dengan lebih baik.
Program ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya SDG 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan. Dengan memberikan pendidikan tentang pemakanan sihat dan pengurusan penyakit, program ini berusaha untuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dalam kalangan masyarakat. Melalui kesedaran dan pengetahuan, diharapkan kariah dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.
Program ini bukan sahaja memberi maklumat yang berguna tetapi juga membuka ruang untuk perbincangan di kalangan kariah tentang cara hidup sihat dan pengurusan diabetes. Dengan pendedahan yang diperoleh, diharapkan kariah dapat membuat pilihan pemakanan yang lebih baik demi kesihatan jangka panjang mereka.