Pembentangan Model Terminal TPT 251

 

RAUB, 13 Jun 2024 – Satu sesi pembentangan Model Terminal sebagai penilaian markah berterusan kursus Asas Pengangkutan (TPT 251) telah berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub. Objektif penyediaan model ini adalah untuk memberikan galakkan kepada pelajar agar berfikir secara kreatif dan mengaplikasi pengetahuan selepas mempelajari asas-asas terminal secara teori. Di samping itu, ia membolehkan pelajar mengasah kemahiran pelajar untuk mempunyai keyakinan diri yang tinggi, menyelesaikan masalah, dan kerja berpasukan. 

Pembentangan ini dinilai oleh 6 orang panel daripada pelbagai bidang. Panel yang terlibat ialah pensyarah dari 3 fakulti berbeza iaitu Puan Roslina Ali, Dr. Razida Hanem binti Mohd Radzil, Ts. Mohd Norafizal Bin Abd Aziz, Cik ‘Ainatul Fathiyah Binti Abdul Rahim, Dr. Nur Fakhzan Binti Marwan serta, En. Mohd Anwar bin Hassim yang merupakan seorang pustakawan. Latar belakang panel yang unik memberikan cabaran yang lebih sengit kerana panel bebas bertanya segala jenis soalan. Soalan-soalan yang ditanyakan berkaitan dengan kos, kedudukan geografi, keperluan undang-undang dan banyak lagi memerlukan daya pemikiran yang mantap bagi mempertahankan idea masing-masing. 

 

Seramai 79 pelajar yang mewakili 14 kumpulan telah membentangkan model terminal mereka dalam bahasa Inggeris. Mereka ini adalah pelajar bagi kumpulan BA111 4A dan 4B dari program Diploma Pengajian Perniagaan. Model terminal yang dihasilkan mestilah mempunyai ciri-ciri integrasi pelbagai kaedah pengangkutan seperti bas, kereta api, teksi dan sebagainya. Selain itu, terminal tersebut mestilah juga mempunyai sistem yang menyokong kelestarian alam sekitar.   

 

Antara sistem yang dibentangkan ialah seperti penjanaan tenaga melalui cahaya matahari, pengurusan bahan buangan, pengurusan sumber air terawat dan banyak lagi. Pelajar diminta untuk menerangkan bagaimana sistem ini berfungsi dan meyakinkan panel bahawa sistem ini boleh menyumbang kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini sekaligus dapat memupuk kefahaman pelajar terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang berkaitan dengan tenaga berpatutan dan bersih serta tindakan iklim. 

Sepanjang pemerhatian juga, pelajar menunjukkan kemahiran yang tinggi dalam mengolah bahan-bahan yang sedia ada. Tidak semua perlu dibeli tetapi penggunaan kotak mahupun kertas terpakai harus dipuji. Ini secara tidak langsung mengelakkan pembaziran dan dalam masa yang sama membuktikan kreativiti pelajar menyediakan miniatur seperti bangunan, jalan raya, lampu trafik, kamera pengawasan, pos pengawal dan banyak lagi. 

Adalah diharapkan pada masa akan datang, sesi pembentangan seumpama ini boleh melibatkan lebih ramai pelajar. Jika lebih ramai yang terlibat tentu sahaja saingan juga menjadi lebih mencabar. Di samping itu, kemampuan pelajar untuk mengaplikasi teori-teori di dalam kelas ke dalam praktis sebenar juga teruji. Pelajar juga dapat merasai keseronokan bersama rakan-rakan melalui soal jawab oleh panel. Ia memberi suasana pembelajaran yang baharu dan tidak hanya terhad di dalam kelas sahaja.