PAHANG, 12 JUN 2024 – Pengajaran secara kolaboratif telah menjadi satu metodologi dalam sistem pendidikan kini. Konsep ini merupakan satu pendekatan yang menekankan kerjasama dan interaksi antara pelajar dalam proses pembelajaran. Kaedah ini yang juga dikenali sebagai team-teaching atau co-teaching, merujuk kepada kolaborasi pengajaran yang melibatkan tenaga pengajar dalam kalangan pensyarah di universiti yang sama ataupun berbeza, atau bersama rakan industri, yang bersama-sama memudah cara kaedah pengajaran, mendidik, dan melatih pelajar bagi memperkasa pembelajaran kendiri pelajar.
Justeru, menyahut kepada idea pengajaran kolaboratif ini, pada hari Rabu, 12 Jun 2024, Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan satu sesi pengajaran kolaboratif, yang mana Dr. Suzarina Ahmed Sukri, Pensyarah Kanan daripada Jabatan Sains Matematik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dijemput sebagai penceramah jemputan.
Aktiviti ini telah melibatkan keseluruhan 76 pelajar program Diploma Kejuruteraan bahagian 2 (CEEC110) UiTMCPh yang mengambil kursus Calculus II (MAT235) pada semester ini. Turut serta adalah empat orang pensyarah yang mengajar kursus tersebut. Sesi kolaboratif dimulakan dengan ucapan aluan ringkas oleh Resource Person (RP) bagi kursus MAT235 ini, iaitu Pn. Anisah Dasman, yang mengalukan kehadiran semua peserta program iaitu para pelajar, rakan-rakan pensyarah, dan khususnya penceramah jemputan.
Sesi pengajaran kolaboratif secara atas talian ini telah berlangsung selama 2 jam bermula pada pukul 10 pagi. Ordinary Differential Equations (ODE) telah diangkat sebagai tajuk dalam pengisian kolaboratif ini, yang mana perbincangannya merangkumi keseluruhan topik yang berkait rapat dengannya iaitu penyelesaian kepada ODE menggunakan pendekatan Separable Differential Equation, Homogenous Differential Equation, dan Linear Differential Equation.
Secara keseluruhannya program ini telah berlangsung dengan lancar dan besarlah harapan agar pengajaran kolaboratif ini dapat memberikan manfaat dan implikasi yang positif kepada para pelajar untuk mereka lebih memahami lagi topik yang dibincangkan. Semoga usaha sama UiTMCPh dan UTM bagi kursus MAT235 ini menjadi titik tolak bukan hanya kepada kerjasama pengajaran kolaboratif bagi kursus-kursus yang lain, tetapi juga membuka pintu yang lebih luas kepada kolaborasi yang lain seperti penulisan dan juga penyelidikan.