Pembelajaran Berasaskan Masalah Dalam Teknologi Lepas Tuai Dan Kelestarian Pertanian

13 March 2024 – Satu lawatan akademik telah dijalankan di Kompleks Lepas Tuai, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang telah disertai oleh pelajar pasca-siswazah dan pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Teknologi Pintar Pengeluaran Tanaman AT228, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA). Objektif utama lawatan akademik ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan pengendalian dan teknologi terkini berkaitan (AGR696) teknologi lepas-tuai dan AGV657 (Pertanian Lestari) yang di kendalikan oleh MARDI.

Kunjungan pihak FPA UiTM ke Kompleks Lepas-Tuai ini disambut dan di ketuai oleh Puan Nor Hanis Aifaa Binti Yusoff, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Kompleks Lepas-tuai MARDI. Satu taklimat dan pembentangan telah disampaikan oleh Puan Hanis secara menyeluruh berkaitan aktiviti dibawah Pusat Penyelidikan Hortikultur. Kompleks Lepas-tuai ini yang menjadi pusat rujukan utama dalam aktiviti lepas-tuai di Malaysia bagi agensi kerajaan lain mahupun pihak swasta. Kajian juga meliputi kerjasama R&D produk hortikultur malaysia bersama agensi antarabangsa. Pelbagai permasalahan dan isu semasa produk-produk hortikultur Malaysia juga diketengahkan oleh Puan Hanis sebagai peluang kajian yang menjadi potensi bagi kajian pelajar-pelajar sarjanamuda mahupun pelajar pasca siswazah FPA.

Selari dengan objektif pembelajaran berasaskan masalah, pelajar juga mengambil kesempatan untuk membincangkan projek inovasi meraka semasa lawatan akademik ini dijalankan dimana projek inovasi ini merupakan sebahagian daripada penilaian berterusan pelajar. Maklum balas, komen dan cadangan yang diterima daripada pihak MARDI membolehkan pelajar melakukan penambahbaikan bagi projek inovasi ini.

Dihujung lawatan ini, pelajar berpeluang melawati beberapa jabatan serta unit pengendalian lepas-tuai yang ada di kompleks ini. Pelajar juga berpeluang melihat pengendalian dan hands-on yang dijalankan di makmal-makmal serta melihat sendiri teknologi bilik sejuk penyimpanan di kompleks ini yang dilengkapi dengan teknologi pintar terkini dalam bidang pertanian dan khususnya pengendalian lepas-tuai

Melalui lawatan akademik ini, pelajar telah menerima pelbagai input mengenai teknologi lepas tuai di industri. Diharapkan melalui pelaksanaan lawatan akademik ini dapat memberi pendedahan sebenar dalam industri dan amalan khususnya kepada semua pelajar program AT228. Lawatan akademik ini mampu meluaskan lagi minda dan pengetahuan pelajar dalam bidang teknologi penanaman pintar khususnya dalam konteks lepas tuai dan pertanian lestari.

Disamping itu, lawatan ini juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang pentingnya pertanian lestari dalam menghadapi pengurusan ekosistem dan alam sekitar yang lebih efisyen. Topografi berbukit, curahan hujan yang tinggi, dan tanah yang subur menjadikannya ideal untuk pertanian. Namun, faktor-faktor ini juga menyumbang kepada risiko tanah runtuh yang dapat merosakkan kawasan perbukitan dan mengancam keselamatan masyarakat. Pertanian lestari adalah pendekatan pertanian yang berfokus pada menjaga keseimbangan ekosistem, melindungi kepelbagaian sumber alam, dan meningkatkan produktiviti pertanian dalam jangka masa panjang.