Pembangunan Pertanian Lestari bersama JPKK Ayer Merbau, Jasin Melaka

BEMBAN, 14 Disember 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin telah mengadakan satu program Services Learning University to Society (SULAM) yang bertempat di Kampung Ayer Merbau, Bemban. Program ini melibatkan kod kursus AGA402 (Principle of Nursery Management) dan terdiri daripada tiga program ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Kepujian) Agronomi AT222, Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaantani (Kepujian) AT243 dan Ijazah Sarjana Muda Sains Agronomi (dengan Kepujian) AT242.

Program ini telah melibatkan kerjasama daripada lima pihak komuniti iaitu JPKK Ayer Merbau, Lembaga Masjid Al Marbawi, KRT Kg Ayer Merbau, KRT Taman Asia Selatan dan Balai Polis Daerah Jasin. Seramai 45 pelajar dan dua orang pensyarah terlibat dengan program SULAM kali ini. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik FPA, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Azma Yusuf yang turut hadir memeriahkan program berkenaan.

Beberapa aktiviti telah berlangsung termasuk senamrobik, pemindahan ilmu dari pelajar kepada komuniti terlibat, gotong royong serta slot ceramah oleh Timbalan Ketua Pejabat Balai Polis Daerah Jasin bertajuk penipuan atas talian. Program ini membantu pelajar membangunkan kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, kerjasama, dan pemikiran kritikal melalui aktiviti yang melibatkan komuniti. Program ini diharapkan dapat membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga prihatin, berdaya saing, dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara.

Program ini dapat mewujudkan ikatan yang lebih kuat antara penduduk melalui aktiviti bersama dan meningkatkan kesedaran tentang pertanian lestari sebagai elemen penting dalam pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat. Inisiatif ini memberi manfaat kepada kedua-dua pelajar dan masyarakat, menjadikannya satu usaha yang saling menguntungkan.