Puncak Alam, 2 Disember 2023- Telah berlangsung Seminar Nasional Mahasiswa Fizika X bersama mahasiswa jurusan Fizika Universitas Negeri Semarang (UNNES) dan mahasiswa Pendidikan Fizik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada 2 Disember 2023 secara dalam talian menerusi platform Zoom Meeting. Seminar Nasional Mahasiswa Fizika X dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Universitas Negeri Semarang, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam dan Prodi Fizika dan Pendidikan Fizika. Seminar ini membawa tema “Implementasi dan Kontribusi Ilmu Fizika terhadap Pembangunan Generasi Emas melalui Riset Inovasi Karya Ilmiah untuk Indonesia Emas 2045” bagi memastikan objektif utama program dicapai. Seramai 129 mahasiswa turut serta yang terdiri daripada UNNES dan UiTM dan turut hadir, Dekan III UNNES, Prof. Dr. Sutikno, M.T secara dalam talian pada jam 0800 Waktu Indonesia Barat (WIB).
Menerusi seminar tersebut, mahasiswa UNNES dan UiTM khususnya dapat menghadiri seminar akademik yang melibatkan pertukaran antara dua negara. Mahasiswa berpeluang untuk berkongsi penulisan artikel ilmiah yang menitikberatkan pada perbandingan antara kajian dalam bidang fisika dan pendidikan Fizik. Tujuan mempamerkan artikel ini adalah untuk memaparkan perkembangan terkini dalam kedua bidang tersebut, dengan niat untuk memperkuatkan pemahaman ilmiah di kalangan para penyelidik dan akademik. Selain itu, terdapat perbincangan yang diadakan di kalangan mahasiswa dengan matlamat merangsang keyakinan dalam menyusun pendidikan Fizik yang berkualiti tinggi. Perbincangan ini melibatkan pembahasan secara mendalam mengenai strategi pengajaran terbaik, penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran, serta penekanan pada pemahaman konsep-konsep Fizik yang mendasar untuk membentuk asas pendidikan yang kukuh dan berkesan. Harapan dari perbincangan ini adalah agar mahasiswa dapat mengembangkan kebijaksanaan profesional mereka serta membina semangat untuk menjadi pendidik yang cemerlang dalam menyampaikan ilmu pengetahuan Fizik kepada generasi akan datang.
Diharapkan semoga seminar ini dapat mengeratkan hubungan antara UNNES dan UiTM selain dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama lanjut antara kedua-dua buah institusi dalam bidang pendidikan.