Pemantapan Pemahaman Kimia Dalam Kalangan Pelajar Perladangan

Jasin, 4 Februari 2025 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Kampus Jasin telah menganjurkan satu program akademik pada 3 Januari 2025 bagi memperkukuh pemahaman pelajar dalam subjek Basic Chemistry (CHM138) dan General Chemistry (CHM420). Program selama tiga jam ini bertujuan untuk membantu pelajar memahami konsep dan teori dalam kedua-dua subjek sebagai persediaan menghadapi penilaian akhir dan peperiksaan akhir. Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan aplikasi kimia dalam bidang agroteknologi membolehkan mereka menghubungkan teori dengan amalan sebenar dalam industri.

Program ini dikendalikan secara interaktif oleh Prof Madya Dr Ruhaida Rusmin dari Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Kuala Pilah Negeri Sembilan. Melalui sesi perkongsian strategi dan tip menjawab soalan, pelajar dapat mengasah kemahiran pemikiran kritis dan pengiraan yang penting dalam kedua-dua subjek ini. Dr Ruhaida Rusmin menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif holistik yang tidak hanya membantu pelajar menguasai subjek secara menyeluruh tetapi juga memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik berbanding sesi kuliah biasa.

Maklum balas positif daripada pensyarah yang mengajar subjek ini dan pelajar menunjukkan bahawa program ini memberi kesan yang signifikan terhadap pemahaman akademik serta pembangunan kemahiran pelajar. Dengan adanya program seperti ini, pelajar bukan sahaja lebih bersedia menghadapi peperiksaan dan penilaian akhir, tetapi juga memperoleh kemahiran yang dapat digunakan dalam kerjaya masa hadapan. Justeru, program pemantapan akademik seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan dan bimbingan tambahan yang menyokong kecemerlangan mereka dalam bidang kimia.

Penulis: Nur Atiqah Zaharullil
Penulis bersama: Wan Zuraida Wan Mohd Zain, Mohd Zuli Jaafar