SHAH ALAM, 19 Jun 2023 – Bengkel Pemantapan Kemahiran Kerja Asas Pertukangan Kayu yang dijalankan di Makmal Penyelidikan Bahan Alam Bina atau dikenali sebagai ‘Built Environment Material Research Laboratory’ (BEMaRL), Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) telah dilaksanakan selama 2 hari, bermula dari 31 Mei hingga 1 Jun 2023. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada kemahiran asas kerja-kerja kayu di samping penekanan terhadap asas-asas keselamatan dalam pengendalian mesin dan peralatan kerja kayu.
Seramai 14 orang peserta yang terdiri staf-staf teknikal dan pensyarah-pensyarah KAB dari 2 buah kampus (Shah Alam dan Puncak Alam) telah menghadiri bengkel pemantapan kompetensi ini. Bengkel ini dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan serta pengenalan kepada pengendalian mesin dan peralatan kerja kayu oleh penceramah jemputan iaitu, Encik Amidin Kasim, seorang bekas Penolong Jurutera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pertukangan kerja-kerja kayu. Seterusnya, para peserta telah diberikan peluang melaksanakan kerja-kerja praktik pertukangan dengan bimbingan dan tunjuk ajar secara langsung oleh penceramah jemputan. Peserta juga telah diberikan tugasan untuk menghasilkan bangku kayu dengan tujuan untuk memantapkan kemahiran pertukangan kayu yang telah dipelajari secara teori dan praktik.
Bengkel kayu KAB beroperasi dan berperanan penting dalam menyediakan fasiliti dan kemudahan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, serta terlibat secara langsung dalam membantu dan melaksanakan projek-projek khas serta program-program utama KAB. Bidang-bidang seperti Pengurusan Pembinaan, Senibina, Senibina Dalaman dan Senibina Lanskap adalah antara bidang yang banyak memberi penekanan terhadap penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran yang berorientasikan tugasan secara langsung atau praktikal. Pelajar-pelajar digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran yang lebih imaginatif dan kreatif, dalam usaha memenuhi keperluan kursus yang diambil dan mengusahakan dengan baik semua kerja-kerja yang memerlukan penghasilan projek atau produk yang berasaskan kayu.
Inisiatif penganjuran bengkel seumpama ini adalah merupakan salah satu usaha KAB dalam memastikan kemahiran berterusan serta agenda keselamatan pengendalian bengkel sentiasa dipantau dan diselia dengan baik. Hal ini bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran staf-staf teknikal serta penawaran perkhidmatan makmal atau ujian yang selamat dan kompeten bagi memastikan imej kualiti yang diamalkan di KAB adalah pada tahap yang optimum.
Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharap program seperti ini dapat diteruskan di masa akan akan datang dan diterapkan secara terbuka dan menyeluruh di kalangan staf-staf dan pensyarah-pensyarah KAB bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan di samping mempertingkatkan kemahiran dalam bidang asas pertukangan berasaskan kayu.