Shah Alam, 10 Jun 2024 – Majlis Pelancaran Prosedur Kembali Ke Universiti (Return to University – R2U) dan Majlis Apresiasi Certified Disability Management Professional (CDMP) telah berlangsung dengan jayanya hari ini. Bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, majlis ini telah dilancarkan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, FASc, Naib Canselor UiTM; Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Dato’ Hj. Mah Hassan, Pengerusi KL Braille Resources; Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN); Puan Annis Fadilla binti Mohd Sukery (CDMP), Ketua Unit Pemerkasaan dan Perkhidmatan Pengurusan Hilang Upaya, Cawangan Return to Work, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); serta Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias (CDMP), Pengarah, Unit Perkhidmatan OKU UiTM.
Prosedur Kembali Ke Universiti (Return to University – R2U) adalah satu program pengurusan hilang upaya yang diadaptasi dari program Return to Work (RTW) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Program ini diwujudkan melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani sebelum ini antara UiTM dan PERKESO.
R2U merupakan program pengurusan hilang upaya pertama di institusi pendidikan tinggi (IPT) dan juga sektor awam di Malaysia. Ianya merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan untuk membantu warga UiTM yang menghadapi kecederaan, penyakit, atau menjadi orang kurang upaya (OKU), agar dapat kembali ke tugas akademik dan profesional dalam keadaan yang sihat dan selamat. Melalui pengubahsuaian kerja sementara ataupun pengubahsuaian tetap, matlamat utama R2U adalah untuk membantu staf dan pelajar UiTM yang cedera, menghidapi penyakit, atau menjadi OKU untuk kembali bekerja atau belajar lebih awal dalam keadaan yang sihat dan persekitaran yang selamat.
Dalam usaha memastikan Prosedur Return to University (R2U) dapat dilaksanakan dengan baik, UiTM telah berjaya mensijilkan seramai 14 orang pensyarah sebagai Certified Disability Management Professional (CDMP). Pensijilan CDMP adalah daripada National Institute of Disability Management and Research (NIDMAR) Kanada dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kerjasama dengan PERKESO, yang merupakan penyedia latihan dan pensijilan tunggal CDMP di ASEAN, turut memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.
Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, FASc, majlis ini menandakan satu detik penting dalam usaha UiTM untuk mewujudkan persekitaran yang terangkum (inklusif) dan menyokong semua keupayaan warga UiTM. Sempena sambutan ulang tahun ke-25 ‘UiTM sebuah universiti’, majlis ini merupakan bukti komitmen UiTM dalam agenda inklusif dan sokongan terhadap individu kurang upaya (OKU). Sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU secara langsung di bawah seliaan Pejabat Naib Canselor, UiTM menzahirkan dedikasi dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan menyokong komuniti warganya yang pelbagai keupayaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dalam ucapannya menyatakan rasa bangganya dapat bersama-sama dalam majlis yang istimewa ini. Beliau mengakui bahawa ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang telah dilaksanakan oleh UiTM dalam agenda pemerkasaan OKU. Menurut beliau, kejayaan ini menunjukkan komitmen UiTM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mewujudkan ekosistem yang inklusif di institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan memastikan ianya boleh diakses oleh semua golongan termasuk OKU. Beliau menambah, kejayaan 14 ahli akademik memperolehi pensijilan CDMP, menjadi bukti kesungguhan UiTM untuk memastikan Prosedur R2U mampu dilaksanakan dengan lancar. Pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran profesional, malah mengukuhkan peranan UiTM sebagai salah sebuah IPT peneraju dalam pendidikan inklusif di Malaysia.
Seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri, Prosedur R2U UiTM ini bertepatan dengan Landasan ke-20 dalam Hala Tuju KPT 2024 yang menekankan agar sektor pendidikan tinggi negara perlu inklusif dan terbuka kepada semua termasuklah OKU yang merangkumi pelajar, pensyarah dan juga kakitangan di IPT. Dan R2U juga selaras dengan 6 Nilai Teras Malaysia Madani iaitu: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Justeru itu, Timbalan Menteri menyarankan agar semua IPT sentiasa peka dengan keperluan khas OKU dan menambahbaik kemudahan mesra OKU di tempat masing-masing.
Dalam ucapannya, Timbalan Menteri menyatakan UiTM telah menetapkan standard baharu dalam pengurusan hilang upaya yang seharusnya dicontohi. Pelaksanaan Prosedur R2U juga dijangka dapat mengurangkan kos perubatan atau pampasan berkaitan pekerjaan dan pembelajaran di sektor pendidikan tinggi. Pada masa yang sama, dapat mengurangkan kehilangan bakat yang masih mampu menyumbang bakti, sekaligus menjimatkan perbelanjaan pengurusan negara pada masa hadapan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat menghargai kerjasama antara UiTM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kerana berjaya menghasilkan satu pendekatan yang komprehensif terhadap pengurusan hilang upaya dan membuka jalan bagi kemajuan masa hadapan bagi warga yang terkesan. Kerjasama seperti ini amat penting dalam memastikan kualiti dan agenda inklusif di sektor pendidikan tinggi kita direalisasikan.
Timbalan Menteri juga mengalu-alukan jalinan kerjasama antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat seperti ini, yang juga dikenali sebagai konsep Quadruple Helix. Matlamat utama konsep ini adalah untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta perkhidmatan saling terjalin antara satu sama lain bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat sejagat.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Timbalan Menteri mencadangkan agar R2U yang dihasilkan oleh UiTM ini boleh diadaptasi bagi program pengurusan hilang upaya di IPT seluruh Malaysia dan dipanjangkan di sektor-sektor awam yang lain.
Majlis ini menandakan satu langkah besar dalam usaha UiTM untuk meningkatkan sokongan dan pemulihan bagi warga universiti yang memerlukan. Ia juga memperkukuhkan komitmen UiTM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran dan kerja yang inklusif, selamat, dan menyokong untuk semua golongan. Dengan pelaksanaan program R2U, UiTM bukan sahaja menetapkan standard baru dalam pengurusan hilang upaya di institusi pendidikan tinggi tetapi juga menunjukkan dedikasi dalam memastikan setiap warganya mempunyai peluang untuk berjaya tanpa mengira keupayaan fizikal. Ini adalah bukti nyata bahawa UiTM terus komited dalam memperjuangkan nilai inklusif dan kesejahteraan dalam sistem pendidikan negara.