19 April 2024, Alor Gajah, Melaka – Perkhidmatan Perpustakaan menghadapi pelbagai cabaran dalam era digital dan globalisasi ini, yang menuntut mereka untuk berinovasi dan berkolaborasi. Untuk itu, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka secara rasminya telah melancarkan Briged Sukarelawan Perpustakaan dan Pasar Buku 2024. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA bersempena dengan Tahun ADAB 2024 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka yang bertujuan untuk membudayakan sikap bersopan santun, berakhlak mulia, bersih dan menerapkan Nilai, Integriti, Sinergi (ESI) serta nilai ilmu, disiplin, amanah, rajin dan tanggungjawab (IDART) dalam diri seluruh pelajar UiTM Cawangan Melaka.
Briged Sukarelawan Perpustakaan mensasarkan pembentukan identiti dan jati diri mahasiswa, yang penting dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks. Inisiatif ini memfokuskan sokongan pada aspek pembelajaran dan penyelidikan, memperkuat jalinan kolaborasi strategik bersama komuniti, serta peningkatan kemahiran literasi maklumat dan perhubungan awam. Selain itu, bimbingan langsung dari staf perpustakaan yang berpengalaman juga disediakan. Usaha ini diharapkan akan meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran profesional yang relevan untuk bersaing di pasaran kerja yang kompetitif.
Nurmaizurah Riswady, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan menjadi Sukarelawan pertama yang berdaftar sebagai Briged Sukarelawan Perpustakaan berkata, sukarelawan telah menjadi komponen penting dalam perkembangan karakter mahasiswa serta dalam mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti. Saya mengharapkan pengalaman sukarelawan ini bukan sahaja membantu saya dalam mengasah kemahiran interpersonal dan kepemimpinan, tetapi juga membolehkan saya memberikan impak positif pada komuniti serta serta menjadi inspirasi bagi orang lain untuk juga mengambil peranan aktif dalam membantu sesama masyarakat.
Sementara itu, Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan bercakap pada majlis yang sama, program ini tidak hanya mendukung misi perpustakaan dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dan literasi di kalangan pelajar, tetapi juga membantu dalam membangunkan komuniti yang lebih berdaya saing dan berpengetahuan luas. Saya berharap program ini akan terus berlangsung setiap tahun, membawa lebih banyak pembekal bahan ilmiah, penglibatan dari pelbagai organisasi serta menyatukan sukarelawan yang sedia berkongsi kepakaran yang ada demi mencapai hala tuju perpustakaan kearah pembudayaan ilmu membentuk adiwangsa.
PTAR UiTM Cawangan Melaka sangat berbesar hati menerima kunjungan dari YBhg. Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA ke tapak Pameran Pasar Buku.
Maklumat Penulis
Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.