Telah berlangsung program Kaunter Pengisian Borang Cukai Pendapatan (E-Filing) bagi tahun taksiran 2020 anjuran Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh bertempat di lobi bangunan pentadbiran UiTM Cawangan Pahang. Program tersebut bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang dan berjaya dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang sangat ketat serta diawasi oleh pihak kesihatan sepanjang program berlangsung.
Secara umumnya, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang telah memulakan program e-filing bermula tahun 2016 lagi. Objektif program ini adalah untuk membantu komuniti setempat mengisi borang cukai pendapatan serta memberi khidmat nasihat mengenai percukaian khususnya cukai pendapatan individu. Dari segi pelaksanaan, program kaunter e-filing ini adalah bersifat berterusan memandangkan ia diadakan setiap setahun. Ahli fakulti memberi sumbangan kepakaran dengan bertindak sebagai fasilitator. Justeru itu, program yang dijalankan pada hari tersebut adalah berbentuk perundingan kerana pensyarah-pensyarah perakaunan terlibat dalam memberi khidmat nasihat kepada peserta yang memerlukan.
Untuk edisi pada kali ini, seramai 11 orang pensyarah fakulti perakaunan dan 6 orang staf LHDN Cawangan Temerloh terlibat untuk menjayakan program e-filing tersebut. 4 daripada staf LHDN turut merupakan alumni UiTM Cawangan Pahang. Mereka adalah En. Muhamad Assif Abdullah, En. Sharizal Mohamad Kamil, Pn. Zulfadhilah Rashid dan Pn. Norfahidah Ahmad. Dengan wujudnya program seumpama ini, Fakulti Perakaunan secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan kolaborasi dengan pihak LHDN.
Rentetan daripada situasi pandemik Covid-19 yang masih berada pada tahap yang membimbangkan sekarang, program tersebut dilaksanakan dalam skala yang kecil dan hanya tertumpu kepada komuniti dalaman iaitu staf UiTM sahaja dan tidak terbuka kepada orang awam diluar UiTM. Namun demikian, sambutan hangat masih diberikan oleh para peserta dan pihak fakulti perakaunan bercadang untuk meneruskan aktiviti ini pada masa akan datang.
Program seumpama ini telah mencapai sasaran dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti iaitu dengan mendedahkan kepada peserta cara mengisi borang cukai pendapatan individu dengan betul dan berintegriti. Selain itu, program ini juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara memandangkan hasil kutipan cukai dari program e-filing ini mampu menjana pendapatan negara kerana cukai adalah pendapatan terbesar bagi negara dan digunakan untuk mengembangkan ekonomi Malaysia.
Berdasarkan pelan strategik universiti, program ini dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu. Sama seperti tahun sebelumnya, teras SDG-17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat adalah sangat bertepatan dengan program yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Pahang sekaligus dapat dirangkumkan bagi menjayakan teras SDG utama lainnya seperti pekerjaan yang sesuai, pertumbuhan ekonomi, pendidikan berkualiti dan juga pembasmian kemiskinan melalui hasil cukai yang dijana oleh kerajaan.