IPOH, PERAK, 16 Januari 2025 – Sejumlah 33 pelajar dan 7 jurulatih daripada Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengadakan lawatan berinformasi ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Ipoh pada 16 Januari 2025, dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini bertujuan memberi pendedahan langsung kepada peserta mengenai peranan dan fungsi SPRM dalam memerangi jenayah rasuah di Malaysia.
Lawatan dimulakan dengan aktiviti menarik di mana para peserta dibawa melawat lokap SPRM, Bilik Temubual Bervideo (VIR), dan bilik kawad cam untuk pengecaman saksi. Para peserta berpeluang menyaksikan kemudahan dan pengoperasian SPRM secara langsung, memberikan mereka pengalaman yang luar biasa.
Selepas sesi lawatan, peserta dibawa ke bilik mesyuarat SPRM di tingkat 2 untuk sesi perkongsian dan ceramah oleh Puan V. Yunaisvari Vengidasalam, Penolong Kanan Penguasa SPRM. Sesi ini memberikan manfaat besar kepada semua yang hadir mengenai isu rasuah dan tanggungjawab bersama dalam pencegahan rasuah.
Diharapkan program seumpama ini dapat melahirkan generasi yang menghayati kepentingan integriti dalam kehidupan seharian dan berperanan sebagai agen perubahan untuk memupuk budaya bebas rasuah dalam masyarakat dan organisasi.
Penulis bersama: Dr. Farihana binti Abdul Razak dan ASP Anuar bin Kassim.