Pelajar UiTM Seri Iskandar, Perak Sertai Program Tanaman Pokok Bersama Komuniti Puncak Iskandar, Perak

Seri Iskandar, 22 Jun 2024 – Pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya melibatkan diri dalam program khidmat sosial dan tanaman pokok bersama komuniti sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk memenuhi keperluan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) untuk subjek ‘Social and Community Planning (TPR482)’. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Perancang Bandar, Majlis Daerah Perak Tengah, TPr Kamarul Izham. Program yang diadakan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Puncak Iskandar, Perak ini melibatkan lebih daripada 25 pelajar Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah yang diselia oleh 2 orang pensyarah. Mereka bersama-sama dengan penduduk dan ahli Jawatan Kuasa (AJK) KRT Puncak Iskandar menjayakan setiap aktiviti yang dirancang untuk memberikan pengalaman dan berharga kepada semua yang terlibat.

Menurut Ketua Program dan pensyarah, Dr Muhamad Ferdhaus Sazali, aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, tetapi juga untuk memperkaya pengalaman pembelajaran para pelajar melalui interaksi langsung dengan komuniti. “Pelajar-pelajar diberi peluang untuk memahami keperluan masyarakat secara lebih dekat, sambil menerapkan ilmu yang mereka pelajari di dalam bilik kuliah ke dalam situasi sebenar”. Para pelajar juga turut serta dalam sesi taklimat pertanian yang disampaikan oleh Pegawai Pertanian Daerah Perak Tengah, Puan Huzaimah. Beliau berkongsi pengetahuan mengenai amalan pertanian lestari dan kepentingan menjaga ekosistem tempatan. Selain daripada aktiviti penanaman pokok, pelajar juga mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan para pelajar juga berkongsi idea dengan penduduk cara mengamalkan aktiviti kebun bandar.

Salah seorang pelajar yang mengambil bahagian, Ahmad Shauqi, menyatakan bahawa program ini memberikannya peluang untuk belajar cara bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat. “Ini adalah pengalaman yang sangat berharga. Saya belajar bukan sahaja tentang tanaman, tetapi juga tentang kepentingan memberi kembali kepada komuniti,” katanya. Program SULAM merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang diwajibkan kepada semua universiti awam di Malaysia. Ia bertujuan untuk menghubungkan aktiviti pembelajaran akademik dengan perkhidmatan kepada komuniti, sekaligus melahirkan graduan yang holistik dan berkemahiran tinggi. Dengan kejayaan program ini, diharap segala pengalaman pelajar dapat terus dipergiat dengan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti, sekaligus memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.