Pelajar UiTM Raih Anugerah Peringkat Dunia

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya meraih pencapaian tertinggi hingga ke peringkat dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesional, baru-baru ini.

Pelajar terbabit, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, 21, menerima anugerah untuk dua kertas peperiksaan diambil iaitu ‘Financial Management’ (FM) dengan pencapaian tempat pertama di Malaysia dan juga dunia, manakala ‘Strategic Business Reporting’ (SBR), yang mana beliau mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia.

Fakulti Perakaunan UiTM dalam kenyataan berkata, Hannah Mumtazah masih mempunyai tiga kertas peperiksaan sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA). Menurut kenyataan itu, ini bukan kali pertama pelajar UiTM melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, Fakulti Perakaunan UiTM sentiasa komited dalam berusaha meningkatkan bilangan akauntan bertauliah di negara ini. Pihak fakulti serta UiTM berbangga dengan pencapaian pelajar di peringkat nasional dan juga antarabangsa dan semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat pelajar lain untuk terus cemerlang,” katanya.

Hannah Mumtazah yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah sebelum ini mengikuti program Jurusan perakaunan professional (JPPro) sebelum menyambung pengajian di UiTM. JPPro adalah program profesional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.

Melalui program ini, pelajar boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT). Menurut Hannah Mumtazah, sokongan padu berterusan semua pihak, disiplin dan kekuatan mental sepanjang belajar dalam talian menjadikan beliau berusaha untuk mencapai kejayaan itu.

“Pengurusan masa yang baik adalah perlu dalam memastikan sesi ulangkaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga. Selain itu konsistensi sepanjang semester antara kunci kejayaan, berbincang bersama pensyarah dan rakan kuliah antara yang sering dipraktikkan,” katanya.

Sumber :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/842984/pelajar-uitm-raih-anugerah-peringkat-dunia?fbclid=IwAR1yI3idB2X1nWXeBplydnVJ-pkSI6Bcpjf1wcafa-_l7YlnasWP1kHGW0g