KEPALA BATAS, 18 Januari 2025 – Seramai 29 pelajar Diploma Farmasi dan 9 pelajar Diploma Fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, melalui Society of Pharmacy Students (SOPHYS), menganjurkan program khidmat masyarakat “Wisdom & Warm: Elderly Care Outreach Program” di Pusat Jagaan Damai Permai.
Program sehari ini melibatkan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran pusat jagaan, menyediakan hidangan makan tengah hari, dan mengadakan aktiviti riadah santai bersama 50 warga emas yang mendiami pusat jagaan tersebut.
Melalui program jangkauan komuniti ini, pelajar berpeluang meningkatkan kesedaran sosial dan empati terhadap golongan warga emas. Mereka dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh generasi terdahulu sambil memupuk nilai hormat dan kasih sayang.
Program turut memberi peluang kepada pelajar untuk mempertingkatkan kemahiran komunikasi dan kerjasama melalui interaksi langsung dengan warga emas dan rakan sukarelawan. Ia bertujuan membentuk pelajar menjadi individu yang lebih peka, sabar, dan berkeyakinan dalam menghadapi pelbagai situasi.
Program ini dijalankan di bawah pengawasan dua penasihat SOPHYS, menunjukkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang prihatin dan mempunyai tanggungjawab sosial.
.
Penulis bersama : Wan Nordini Hasnor Wan Ismail, Muhammad Faiz Zulkifli