Pelajar UiTM Cawangan Pahang Cemerlang dalam Program Chinese Bridge-Online Chinese-Study Camp for Southeast Asian College Students 2022

Peluang keemasan untuk menguasai Bahasa Mandarin tidak dipersia-siakan oleh 32 orang pelajar yang sedang mengambil kursus TMC tahap 1 hingga tahap 3 di bawah kendalian Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan mengikuti program mempelajari Bahasa Mandarin secara maya anjuran Centre for Language Education and Cooperation dan Shanghai Normal University dengan kerjasama universiti-universiti lain di negara China. Kursus 7 hari yang bermula 10 Disember 2022 sehinggalah 17 Disember 2022 ini telah berjaya menonjolkan kecemerlangan pelajar-pelajar terlibat dalam pertuturan dan penulisan Bahasa Mandarin.

Kursus ini dijalankan secara percuma dan terbuka kepada sesiapa yang berminat mempelajari Bahasa Mandarin. Menariknya, ia tidak terhad kepada bahasa semata-mata, malah melibatkan pengetahuan budaya tradisional Cina seperti seni mempertahankan diri, muzik rakyat dan perubatan tradisional Cina, serta pengenalan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan isu-isu kontemporari dalam sesebuah bandar di China.

Kursus atas talian sepenuhnya ini telah menggabungkan pengajaran dan pembelajaran interaktif melalui penggunaan bahan video, interaksi secara langsung dan lawatan maya yang memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat mengujakan. Melalui program ini juga pelajar berpeluang mempelajari dan mengenali budaya Cina daripada sudut pandang penutur asli dan diwaktu yang sama menerima cabaran apabila guru dan peserta-peserta lain dari negara-negara di Asia Tenggara menggunakan sepenuhnya Bahasa Mandarin samada dalam pertuturan mahupun penulisan.

Di akhir kursus, beberapa peserta termasuklah wakil dari UiTM Kampus Jengka telah mewakili negara masing-masing untuk berkongsi maklumat berkenaan budaya, makanan tempatan dan pakaian tradisional masing-masing. Perkongsian ini telah memberi manfaat kepada peserta yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza.

Ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang kursus ini diharap dapat meningkatan keyakinan peserta khususnya dari UiTM Cawanagan Pahang Kampus Jengka dan Malaysia umumnya untuk menggunakan Bahasa Mandarin terutama sekali di kehidupan seharian mereka. Ia juga selain itu diharap dapat memberikan daya lonjak kepada motivasi pelajar untuk lebih mendalami dan menguasai Bahasa Mandarin setelah mereka tamat pengajian kelak dan seterusnya mendukung prinsip pembelajaran sepanjang hayat.