Pelajar Tahun Akhir Reka Bentuk Perabot Pamerkan Inovasi dalam Projek “Armchair Inspired by Nature”.

Merbok, Kedah, 22 Julai 2024 – Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kedah, sekali lagi menjadi tumpuan dengan kejayaan pelajar-pelajar tahun akhir Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian) pengkhususan reka bentuk perabot (IDT317) yang telah berjaya menyelesaikan projek mereka yang bertemakan Armchair Inspired by Nature bagi sesiMac-Ogos 2024. Projek ini merupakan satu inisiatif yang digerakkan oleh dua pensyarah Seni Reka Perindustrian iaitu Puan Norarifah dan Encik Abu Hanifa yang bertujuan untuk memupuk kreativiti dan inovasi pelajar dalam menerapkan prinsip reka bentuk bagi menghasilkan armchair yang unik dan berfungsi untuk kegunaan di kawasan kediaman.

Pada permulaan projek, pelajar diberikan tugasan untuk meneroka dan menjalankan penyelidikan mendalam terhadap elemen-elemen alam semula jadi, khususnya flora dan fauna, yang akan menjadi sumber inspirasi utama dalam reka bentuk mereka. Setiap pelajar dikehendaki memilih elemen terbaik daripada alam semula jadi, merangkumi sama ada tumbuhan atau haiwan. Elemen-elemen ini dipilih berdasarkan keunikan dan potensi untuk diterjemahkan ke dalam reka bentuk perabot. Pelajar kemudian menghasilkan pelbagai lakaran dari sudut pandangan yang berbeza, diikuti dengan mencipta variasi lukisan untuk setiap elemen yang dipilih. Proses ini bukan sahaja membantu pelajar memahami dengan lebih mendalam struktur dan bentuk elemen tersebut, tetapi juga memperkayakan kreativiti mereka dalam mencari inspirasi reka bentuk.

Dalam fasa seterusnya, pelajar meneruskan analisis menyeluruh terhadap reka bentuk armchair yang merangkumi aspek-aspek seperti fungsi, estetika, bahan, serta prinsip ergonomik yang penting untuk memastikan produk akhir bukan sahaja menarik secara visual tetapi juga memberikan keselesaan optimum kepada pengguna. Data yang dikumpul, dianalisis secara mendalam dalam konteks analisis produk, membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan reka bentuk sedia ada sebelum menghasilkan cadangan yang lebih inovatif.

Eksplorasi konsep diteruskan dengan pelajar menghasilkan lakaran awal (initial sketches), diikuti dengan sesi pengembangan idea (idea development) dan pembangunan reka bentuk (design development), yang mana pelajar menghasilkan lakaran visual 3D yang lebih terperinci serta dua model mock-ups. Proses ini penting untuk menguji idea secara fizikal dan membolehkan pelajar menilai dan mengubahsuai reka bentuk berdasarkan cabaran teknikal yang dihadapi. Penghasilan mock-ups juga memainkan peranan penting dalam memahami teknik pembuatan sebenar dan kesesuaian bahan yang digunakan.

Selain itu, pelajar turut diberi pendedahan tentang teknik upholsteri di mana mereka belajar untuk membalut kerusi menggunakan span dan fabrik yang sesuai. Teknik ini merupakan komponen penting dalam projek ini kerana ia melibatkan aspek kemasan akhir armchair, yang mana pelajar perlu memahami proses untuk membalut span pada rangka kayu dan fabrik yang dipilih.

Projek ini mencapai kemuncaknya melalui penilaian akhir, di mana prototaip yang siap dipamerkan dan dinilai oleh empat orang panel penilai. Bagi pelajar tahun akhir, projek ini akan dipamerkan di design show yang dikenali sebagai MINDAREKA.  Pameran ini akan mengetengahkan prototaip yang berkualiti dan dipamerkan kepada orang ramai. Dalam pameran ini, hasil rekaan Muhammad Syakir Aizat Bin Ishak, yang menghasilkan armchair diinspirasikan oleh kumbang badak (Rhino Beetle) untuk kegunaan di kondominium, berjaya memenangi anugerah reka bentuk perabot terbaik.

Secara keseluruhannya, projek Armchair Inspired by Nature ini memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dalam menerapkan kemahiran reka bentuk mereka dalam konteks praktikal dan kreatif. Pameran MINDAREKA yang diadakan bukan sahaja menonjolkan kualiti prototaip yang dihasilkan tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan hasil karya mereka kepada khalayak umum dan pihak industri, membuka jalan ke arah masa depan yang cerah dalam industri reka bentuk perabot.

Oleh: Norarifah Binti Ali dan Abu Hanifa Bin Ab. Hamid