Pelajar SMK Tunku Besar Tampin rasai pengalaman bidang penyiaran

Kesemua tenaga pengajar, mahasiswa FKPM Kampus Rembau dan para peserta SYB SMK Tunku Besar Tampin bergambar kenangan selepas selesai program.

TAMPIN 3 Mei – Seramai 40 pelajar tingkatan tiga hingga enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di sini berpeluang menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bidang penyiaran baru-baru ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada peserta yang menyertai Program ‘Shaping Young Broadcaster’ (SYB) anjuran Persatuan Pelajar Penyiaran dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.

Program yang bertemakan ‘The Cast Mastery’ tersebut turut melibatkan 50 mahasiswa dan kakitangan FKPM UiTM Kampus Rembau.

Menurut pensyarah FKPM yang juga penasihat program, Nurul Aishah Ab. Rahman, SYB bertujuan menerapkan dan memperkukuhkan kemahiran ‘soft-skills’ dalam kalangan pelajar di samping memberi peluang mereka merasai sendiri dunia penyiaran.

“Kita sering dengar program seperti ini biasanya hanya menekankan kepada penyampaian ceramah yang bersifat komunikasi sehala dengan penglibatan minimum peserta. Namun SYB dilengkapi dengan peralatan khas penyiaran yang memberikan peluang peserta merasai pengalaman dunia penyiaran.

“Para pelajar teruja apabila dapat mencuba salah satu simulasi SYB, iaitu penyampaian berita di sekolah mereka. Uniknya program ini kita kendalikan dengan empat simulasi yang biasa digunakan dalam dunia kewartawanan penyiaran seperti standupper, penyampaian berita, penyampaian radio dan pengendalian sidang media,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian FKPM, Wan Admiza Wan Hassan berkata, program itu juga bertujuan meningkatkan penglibatan bersama komuniti setempat selain merupakan salah satu aktiviti tahunan.

Beliau berkata, ia juga dapat memupuk semangat kepemimpinan dan sukarelawan dalam kalangan pelajar FKPM. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Aida Faizlen Ibrahim
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelajar-smk-tunku-besar-tampin-rasai-pengalaman-bidang-penyiaran-1.894019

0
0