Pelajar Sarjana Muda Sains Senibina Terokai Warisan Dan Alam Semulajadi Pulau Pinang

Pulau Pinang, 6 November 2024 – Seramai 58 pelajar Semester 1 Sarjana Muda Sains Senibina UiTM Puncak Alam telah mengikuti lawatan akademik empat hari ke Pulau Pinang bagi mendapatkan inspirasi berkaitan tema studio mereka, Elemen Alam Semulajadi.

Program yang berlangsung dari 24 hingga 27 Oktober 2024 ini bermula dengan kunjungan ke Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP), di mana kurator En. Fairudz Ikhwan memberikan taklimat mengenai koleksi seni tetap dan pameran sementara galeri tersebut.

Lawatan turut merangkumi sesi kolaborasi bersama Universiti Sains Malaysia (USM), di mana Dr. Hafeez Abdul Nasir dari USM dan En. Dzul Fadli Asraf dari UiTM berkongsi pengalaman mengenai program Senibina di kedua-dua universiti. Para pelajar telah mengambil bahagian dalam aktiviti pembinaan menara futuristik menggunakan bahan-bahan asas.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat aplikasi sebenar seni bina dan kreativiti,” kata salah seorang pensyarah pengiring program tersebut.

Pelajar turut mengadakan aktiviti jungle trekking di Taman Negara Pulau Pinang, melawat Pusat Pemuliharaan Penyu, dan meneroka Georgetown untuk tugasan akademik mereka. Program diakhiri dengan lawatan ke Hin Bus Depot, sebuah hab komuniti kreatif yang mempamerkan seni tempatan.

Lawatan akademik ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar dalam bidang seni bina dan kreativiti, malah berjaya mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi tempatan. Inisiatif seperti ini dilihat penting dalam melahirkan graduan yang lebih inovatif dan berdaya saing dalam industri.