Webinar FSPU: Pendekatan MURNInets

 

Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Siri Webinar Social Aspect of Planning: Pendekatan MURNInets Dalam Perancangan dan Pembangunan di Negeri Sembilan pada 9 Disember 2020. Webinar ini telah diadakan secara atas talian menggunakan platform Google Meet yang telah dihadiri lebih 80 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (AP221).

Moderator bagi siri webinar ini ialah pelajar Semester 6 AP221, Encik Abdul Latif bin Mohd Zaidi dan syarahan telah disampaikan oleh penceramah undangan khas, Puan Norhasin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah PLANMalaysia Negeri Sembilan. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perancangan dan telah berkhidmat di beberapa agensi tempatan, antaranya Majlis Perbandaran Sepang dan PLANMalaysia. Yang lebih membanggakan adalah beliau merupakan Alumni Pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM.

Syarahan secara online yang berlangsung dari jam 2.30 petang sehingga 4.00 petang telah memanfaatkan pelajar-pelajar AP221 yang telah menyertai webinar tersebut. Sepanjang sesi syarahan tersebut, pelajar-pelajar telah didedahkan dengan pendekatan MURNInets yang telah digunakan PLANMalaysia bagi menentukan kualiti kehidupan (quality of life) bagi sesuatu kawasan atau bandar.

Perkongsian ilmu ini telah membuka minda para pelajar mengenai betapa pentingnya tahap kemampanan sesuatu kawasan atau bandar perlu diukur supaya pembaikan berterusan boleh dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Selain dari mendapat manfaat perkongsian ilmu dari pihak industri, sesi webinar ini turut memberikan platform kepada Persatuan Pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah (TRiPS) untuk menonjolkan aspek kepimpinan dan kebolehan dalam menganjurkan program.

Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur mengucapkan jutaan penghargaan kepada Puan Norhasin Abdullah di atas kesudian beliau untuk meluangkan masa berkongsi pengalaman kepada para pelajar AP221 mengenai penggunaan MURNInets dalam menilai kemampanan bandar-bandar di Malaysia.