Mahasiswa Kejuruteraan Kimia UiTM Terajui Program Pendidikan Alam Sekitar di SK Sungai Binjai

KLANG, 17 Disember 2024 — Seramai 55 orang mahasiswa Semester 6 daripada Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, diiringi 6 orang pensyarah telah menjalankan program komuniti di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang. Program ini dilaksanakan melalui inisiatif SULAM (Service-Learning Malaysia-University for Society) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sejak  tahun 2020 yang lalu. Program ini menyaksikan mahasiswa UiTM yang mengikutit kursus Leadreship & Professional Ethics for Engineers bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak & Gas, bersama-sama dalam menyampaikan perkongsian ilmu kepada hampir 1600 orang murid Tahap 2 di sekolah berkenaan.

Be Green Outreach Programme 2024 yang berlangsung di SK Binjai ini merupakan salah satu daripada 33 buah sekolah yang terlibat dalam projek kolaborasi antara PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan Universiti Teknologi MARA, yang mana melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak bekerjasama mendekati komuniti (18,000 murid-murid sekolah rendah dan menengah) bagi menyampaikan modul Plastic, Sustainability & You Education (PSYE) yang dibangunkan oleh PCG dan rakan strategik terdahulu. Projek ini mempunyai matlamat untuk menggilap kesedaran alam sekitar, terutamanya berkaitan kepentingan plastik dan pengurusannya, serta kelestarian melalui aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan pelbagai aspek pendidikan berteraskan STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics), kreativiti dan yang penting sekali pemuliharaan alam sekitar.

Apa yang menarik, aktiviti-aktiviti ini direka khas oleh mahasiswa UiTM bersesuaian dengan komuniti (murid sekolah rendah) dalam menyampaikan kandungan modul PSYE tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Water Filter, yang mana murid belajar tentang asas penapisan air menggunakan bahan kitar semula, dan “Ke Bulan Ke Kita”, iaitu sebuah aktiviti bertemakan roket air yang menggabungkan elemen sains dan kejuruteraan serta kreativiti. Selain itu, aktiviti Arca dan Poster Be Green memberi peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan kreativiti mereka melalui seni dengan bahan-bahan terpakai.

Aktiviti-aktiviti lain seperti Recycle Roll dan Rig From Trash menggalakkan penggunaan semula bahan buangan untuk menghasilkan sesuatu yang berguna dan kreatif, selain mereka mengenali lebih mendalam mengenai konsep sains (fizik) serta ilmu kejuruteraan minyak dan gas. Sorting Trash pula mendidik murid tentang cara pengasingan sisa yang betul bagi memupuk tabiat menjaga kebersihan dan kelestarian sejak kecil lagi.

Program ini turut menampilkan sesi ceramah kesedaran alam sekitar oleh Rakan Alam Sekitar UiTM yang memberi pendedahan tentang isu-isu pencemaran dan langkah-langkah individu dalam melindungi alam. Pameran interaktif yang turut mengetengahkan modul PSYE telah memaparkan informasi dan model berkaitan kelestarian alam turut diadakan sebagai tarikan tambahan.

Semua aktiviti dijalankan di Dataran Semarak Budi, dengan kerjasama para guru dan mahasiswa Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah selaku Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM. Dalam ucapan beliau, Prof TPr Dr. Jamalunlaili menekankan kepentingan program seperti ini dalam menyemai kesedaran alam sekitar sejak usia muda. Pelancaran gimik pula telah disempurnakan oleh gabungan tiga tokoh utama iaitu, Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah, Puan Azzlina Mazlan (Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran) serta Encik Mohd Arif bin Ab Muis (Guru Besar SK Sungai Binjai).

Program ini telah berjaya mendekatkan murid-murid kepada kepentingan penjagaan alam sekitar melalui pendekatan kreatif dan pendidikan. Aktiviti-aktiviti yang diadakan bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberikan kesedaran tentang peranan mereka dalam menjaga bumi untuk generasi akan datang.

Dengan kerjasama semua pihak, Be Green Outreach Programme 2024 mencerminkan komitmen UiTM dan SK Sungai Binjai terhadap pembentukan generasi yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar. Keseluruhan program ini memberikan impak besar dalam membentuk kesedaran murid tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar melalui pendekatan yang kreatif dan pendidikan di luar bilik darjah.

Penulis: Avyiana Shonia Lintu Anak Marson & PM Ir. Dr. Siti Shawalliah Idris