Pelajar-Pelajar Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) Menyertai Seminar Ekologi Malaysia (Sem) 2024

PUTRAJAYA, 7 November 2024 – Seramai 20 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) dari Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban telah turut serta dalam program Seminar Ekologi Malaysia (SEM) 2024 anjuran Persatuan Ekologi Malaysia yang telah diadakan di Hall 1, Putrajaya International Convention Centre (PICC). Seminar yang bertemakan Ecological Crisis and Governance Challenges tersebut bermatlamat untuk menjadi wadah perkongsian ilmu antara pakar akademik dan pembuat dasar dengan mahasiswa dan mahasiswi universiti bidang pengajian alam sekitar. Program yang dilaksanakan selama sehari itu turut dihadiri oleh pelajar-pelajar serta akademia dari beberapa universiti awam yang lain seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaya.

Pengisian seminar tersebut melibatkan pembentangan kertas kerja dan pameran poster oleh pakar akademik, pelajar pasca siswazah serta wakil daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Fokus pembentangan oleh penceramah menyentuh pelbagai topik berkaitan krisis serta permasalahan ekosistem di Malaysia yang mendesak penyelesaian yang lebih berkesan. Antara isu-isu yang diketengahkan dan menarik perhatian peserta adalah penurunan populasi habitat terancam, konflik antara manusia dan haiwan liar, tadbir urus serta dasar pemuliharaan biodiversiti negara. Keseluruhan diskusi dan perkongsian ilmu sepanjang seminar ini menepati pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) yang berikut; SDG13 (Climate Action), SDG14 (Life Below Water), SDG15 (Life on Land), SDG16 (Peace, Justice & Strong Institutions) dan SDG17 (Partnership for the Goals).

Penyertaan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar ke Seminar Ekologi Malaysia 2024 ini telah membuahkan hasil yang sangat bermanfaat serta relevan dengan bidang pengajian mereka terutamanya dengan kod kursus Introduction to Ecology (EVA410), Environmental Politics (EVA610) dan Sustainable Development Strategies (EVA630). Selain dapat membina jaringan yang lebih kukuh dengan pihak akademia, pembuat dasar dan rakan-rakan dari universiti lain, program ini telah memberikan peluang kepada peserta untuk mendalami isu-isu terkini berkaitan permasalahan ekologi, memahami strategi pemuliharaan biodiversiti, dan mendapat pendedahan kepada pendekatan baharu dalam pengurusan alam sekitar. Selain itu, sesi interaksi dengan pakar ekologi dan peserta dari pelbagai latar belakang telah memperluaskan perspektif pelajar terhadap cabaran dan peluang dalam bidang ini. Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan akademik, tetapi juga memupuk kesedaran tentang peranan mereka sebagai bakal pentadbir alam sekitar yang bertanggungjawab serta beretika.

Penulis : Muhamad Yassin Husin, Mir Zulqhairi Imran Norismairwan, Mohd Idham Mohd Yusof