Pelajar Pascasiswazah Fakulti Pendidikan Selaku Moderator Sesi ‘Kongsi’ untuk Warga Komuniti Kreatif

Pelajar Pascasiswazah Fakulti Pendidikan Selaku Moderator Sesi ‘Kongsi’ untuk Warga Komuniti Kreatif
Saudara Muhamad Nizar (paling kanan) bersama panelis forum

Muhamad Nizar Sulaiman, pelajar program pascasiswazah Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, baru-baru ini telah berperanan sebagai moderator bagi satu sesi forum ‘Kongsi’ yang dianjurkan untuk warga komuniti kreatif tanahair.

Forum yang bertajuk ‘Art Nowadays, Young Artists’ Perspectives’ telah dianjurkan oleh A.P. Gallery, Kuala Lumpur dan telah berjaya menghimpunkan dua artis berpengalaman dan dua artis muda dalam arena seni tempatan. Panelis forum terdiri daripada Tuk Kura, pengasas Arto Movement; dan Haafiz Shahimi, artis pyrography yang rancak dengan pameran di dalam dan luar negara; serta Tajrin Faruqi dan Amin Morris, kedua-duanya merupakan graduan universiti tempatan namun tidak mempunyai sebarang latar belakang pendidikan seni.

Dalam membincangkan hala tuju artis muda generasi baru, panelis forum rata-rata berkongsi pengalaman dan perjalanan seni mereka. Tuk Kura, atau nama sebenarnya Muhammad Amir Amin Mohd Idris, lulusan seni UiTM, menceritakan bagaimana dia dan Kumpulan Arto bergerak dalam arena seni tempatan melalui penghasilan karya untuk pelbagai pameran terutamanya pameran bukan komersial. Haafiz Shahimi, juga lepasan seni UiTM, memulakan perjalanan seni beliau dengan persembahan silat dan menghasilkan karya-karya berasaskan pyrography.

Sedang melanjutkan pelajaran beliau di peringkat sarjana di dalam program pascasiswazah Pendidikan Seni Visual, Fakulti Pendidikan, Saudara Muhamad Nizar merupakan seorang artis separuh masa dan pendidik di sebuah sekolah antarabangsa. Lebih dikenali sebagai Nizar Sulaiman di dalam dunia seni, beliau rancak melibatkan diri dalam pelbagai pameran seni, antaranya, Bakat Muda Sezaman 2019 dan Malaysia Emerging Artists (MEA) 2019. Baru-baru ini Saudara Muhamad Nizar telah membentangkan kertas kerja penyelidikan beliau di International Seminar QUO VADIS in Art Education XV anjuran Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di Bandung, Indonesia.