Padang Jawa, 23 Mei 2024 – Dalam usaha untuk memperkaya pengetahuan pelajar tentang pengurusan perpustakaan, pelajar Pengurusan Perpustakaan (IM2445ST1) dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Padang Jawa (SK Padang Jawa) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Program Sulam Dahlia@Padang Jawa. Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah bertajuk “Simple Cataloging and Introduction to Dewey Decimal Classification (DDC)”.
Program ini diadakan di Perpustakaan SK Padang Jawa dan telah disertai oleh seramai 28 orang pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) dari tahun 4 hingga tahun 6. Ia bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar terutamanya kepada pengawas PSS tentang asas pengkatalogan buku dan penggunaan sistem ‘Dewey Decimal Classification’, yang merupakan salah satu sistem pengelasan buku yang paling meluas digunakan di perpustakaan seluruh dunia. Melalui program ini, pelajar dapat memahami kepentingan pengurusan perpustakaan yang sistematik serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam tugasan harian mereka sebagai pengawas PSS.
Program ini bermula dengan sesi pengenalan tentang pengkatalogan buku, di mana pengawas PSS diperkenalkan kepada konsep asas pengkatalogan termasuk tajuk, pengarang, dan maklumat penerbitan. Seterusnya, peserta dibimbing untuk memahami dan menggunakan sistem DDC dalam pengelasan buku. Aktiviti praktikal turut diadakan di mana peserta diberi peluang untuk mengkatalogkan buku-buku perpustakaan sekolah menggunakan sistem DDC.
Puan Rashidah, guru PSS SK Padang Jawa berkata “Pengisian program ini banyak memberi impak yang positif kepada pengawas PSS khususnya dari segi panduan cara untuk mengkatalog buku dan mengkelaskan buku mengikut DDC. Saya menyambut baik usaha kerjasama UiTM bersama SK Padang Jawa dan saya berharap akan ada lebih banyak aktiviti berkaitan pengurusan perpustakaan dan pembacaan akan dijalankan untuk terus menyemarakkan minat pelajar dalam bidang ini”.
Aktiviti ini mendapat sambutan yang amat baik daripada peserta. Mereka menunjukkan minat yang tinggi dan bersemangat dalam setiap sesi yang dijalankan. “ Saya sudah tahu cara untuk mencari buku menggunakan DDC”, ulas salah seorang pengawas PSS yang berasa bersemangat setelah mempelajari sistem penggunaan DDC. “Senang sahaja cara untuk membuat katalog ini”, ulas salah seorang lagi pengawas PSS yang menyertai program ini. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan pelajar tentang pengurusan perpustakaan tetapi juga membina kemahiran berfikir secara sistematik dan teratur.
Turut hadir pada program ini adalah Dr. Nor Zaina Zaharah Binti Mohamad Ariff selaku pensyarah pembimbing. Program SULAM Dahlia@Padang Jawa ini dijalankan supaya dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cintakan ilmu tetapi juga berkemahiran dalam mengurus dan mengendalikan perpustakaan dengan baik serta terus komited dalam mendukung aspirasi pendidikan dan memperkasa pelajar melalui pelbagai inisiatif dan program yang bermanfaat.