Pelajar KPPIM Memperkasakan Minda Murid SK Padang Jawa Melalui Program Digital Literasi

Padang Jawa , 23 Mei 2024 – Satu Program Digital Literasi telah dianjurkan di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa oleh pelajar tahun akhir Kolej Pengajian, Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Program di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini melibatkan kumpulan pelajar tahun akhir dari program Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Maklumat (CS266) dan Sarjana Muda Sains Komputer Pengkomputeran Multimedia (CS253), KPPIM serta 60 orang murid darjah 6 dari Sekolah Kebangsaan Padang Jawa.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya, “Coding Treasure Hunt” yang bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan asas dalam pengaturcaraan HTML dan CSS. “Coding Treasure Hunt” adalah aktiviti interaktif yang direka untuk melibatkan pelajar sekolah rendah dalam mempelajari HTML dan CSS melalui permainan yang menyeronokkan dan mencabar. Matlamatnya adalah untuk mencari “harta karun” tersembunyi dengan menyelesaikan petunjuk dan melengkapkan tugasan pengekodan.

Selain itu, aktiviti yang dinamakan ‘Digital Literacy’ turut diadakan. Ia adalah sebuah aktiviti yang memperkenalkan kemahiran beretika dalam mencari sumber, menyunting dan berkongsi bahan multimedia. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tahun 6 tentang cara-cara menyunting video mengikut kreativiti masing-masing menggunakan aplikasi ‘Capcut’, iaitu aplikasi penyuntingan yang paling popular pada masa kini. Penyuntingan video menggunakan aplikasi ini melibatkan memotong video klip,  menambah transisi di antara video dan menyesuaikan audio untuk menghasilkan video yang berkualiti tinggi.

Satu pameran mengenai  kesedaran digital turut dianjurkan. Pameran ini diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman murid-murid berkenaan penggunaan teknologi siber, sekali gus menghindarkan mereka daripada terjerumus menjadi mangsa jenayah dalam talian. Pameran ini dilaksanakan secara interaktif dengan menyediakan beberapa permainan berteraskan keselamatan siber dan panduan penggunaan kemudahan teknologi secara berhemah sebagai usaha untuk menarik minat murid dalam penyampaian maklumat menggunakan medium yang lebih berkesan.

Encik Mohd Salahuddin bin Nayyan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, di dalam ucapan beliau menyatakan program ini memberi manfaat kepada murid sekolah ini. Ini turut disokong oleh Puan Husna, guru Reka Bentuk dan Teknologi SK Padang Jawa. Menurut beliau, pengisian program banyak memberi impak positif kepada murid-murid khususnya dari segi kemahiran sosial, kemahiran menyelesaikan masalah serta pengaturcaraan.  Majlis ini telah dihadiri oleh wakil pengurusan KPPIM, Ts. Nurzeatul Hamimah Abdul Hamid, selaku koordinator Jaringan Industri KPPIM, yang telah  menjayakan sekaligus merasmikan majlis ini. Majlis turut dihadiri oleh Cik Wan Athirah Wan Endut selaku pensyarah pembimbing program.

Para peserta rata-rata memberi reaksi yang positif dari segi peningkatan ilmu pengetahuan dalam bidang digital yang diketengahkan. “Saya sudah berjaya menghasilkan video pendek saya sendiri”, ulas salah seorang peserta, yang berasa bersemangat setelah mempelajari beberapa kemahiran asas penyuntingan media. 

Program MEGA KPPIM SULAM 2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.