Bagi menyahut usaha “Kita Jaga Kita”, Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana Cawangan Selangor mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada hampir 150 orang anak yatim di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Selangor melalui Program Kongsi Kasih oleh pelajar Diploma Pengurusan Seni, Semester 3.
Ketua Program Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Penasihat Kongsi Kasih, Puan Zairuni Saad memaklumkan bahawa program amal seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami keadaan masyarakat sekeliling yang terkesan dengan Pandemik Covid-19.
Selain mampu melahirkan insan yang lebih bertanggungjawab dan prihatian kepada komuniti, beliau turut berpendapat bahawa program seperti ini menjadi satu platform untuk para pelajar merealisasikan aspek perancangan, penganjuran, kepimpinan, penajaan, dan kolaborasi dengan berkesan bersama pihak luar.
Antara sumbangan yang dihulurkan termasuklah barang keperluan bayi dan kanak-kanak, keperluan dapur, makanan kering, dan alatan memasak. Kesemua barang keperluan ini adalah sumbangan dari pelbagai pihak, manakala beberapa barang lain seperti microwave dan makanan masing-masing ditaja oleh Daya Gabungan Sdn Bhd. Qun Chicken, dan Gula & Butter.
Program ini telah dijalankan pada 22 Julai 2021 yang lalu secara serahan barang kepada ketua rumah Pusat Jagaan Cahaya Kasih dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Program Kongsi Kasih ini adalah antara acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan yang dijalankan oleh Pusat Pengajian Industri Kreatif. Seramai 27 orang pelajar dan 2 pensyarah terlibat untuk merancang dan menjayakan program ini.