Pelajar kejuruteraan mekanikal UiTM tanam 1,000 pokok di Taman Rimba

Program Lestari Bumi Hijau di Taman Rimba Bukit Lagong

KUALA LUMPUR 27 April – Sebanyak 1,000 batang pokok pelbagai jenis ditanam di Taman Rimba Bukit Lagong, Batu Caves, Selangor oleh 200 sukarelawan antaranya pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Standard Chartered, Rabu lalu.

Program Lestari Bumi Hijau berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama UiTM Shah Alam dan Standard Chartered.

Selain membuat penanaman sebanyak 500 batang pokok renek, 250 batang pokok Kelat Paya dan 250 batang pokok ‘Duranta Gold’, sukarelawan turut mengecat semula kemudahan awam di sekitar taman rimba dan membuat pembersihan bagi denai hutan.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pemangku Yang Dipertua MPS, Datuk Dr. Juhari Ahmad bersama Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Fozi Ali.

Sebagai simbolik perasmian kedua-duanya turut melepaskan ikan dan melontar ‘mudball’ ke dalam kolam.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Zon 11 MPS, Mohd. Kassim Packiry dan Global Head Financial Operations, Standard Charted Global Business Services (GBS), Paul Scott. – UTUSAN ONLINE

Oleh : Nur Izzati Izzah Nadzi
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/pelajar-kejuruteraan-mekanikal-uitm-tanam-1-000-pokok-di-taman-rimba-1.890085

0
0