Pelajar FSKM Jana Pendapatan RM8k Sebulan Melalui Perniagaan Dalam Talian

Tiada siapa menyangka dunia akan berdepan dengan  pandemik covid-19 yang sekaligus mengubah norma kehidupan manusia sejagat. Perubahan ini turut memberi impak kepada keadaan ekonomi semasa. Sektor perniagaan amat terkesan dengan krisis ini sehingga terpaksa mengurangkan pekerja malahan ada yang terpaksa gulung tikar. Keadaan ini sudah pasti memberi kesan kepada pelajar universiti yang baru menamatkan pengajian dalam mencari peluang pekerjaan.

Menyedari keadaan ini, Umar Faiz Daniel Ibrahim mengambil langkah proaktif untuk menjana pendapatan. Umar yang merupakan pelajar semester 7 Sarjana Muda Teknologi Maklumat , Fakulti Sains Komputer dan Matematik Shah Alam memulakan perniagaan atas talian sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian ketika Perintah Kawalan Perniagaan berkuatkuasa.

Umar yang merupakan anak kelahiran Pulau Mutiara ini mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan . Berbekalkan ilmu pengkomputeran yang ditimba semasa menjadi pelajar FSKM, Umar menubuhkan syarikat sendiri yang diberi nama UFD Technology. Perniagaan ini menawarkan  pembinaan dan penyelenggaraan komputer serta menjual barang dan aksesori computer melalui Facebook, Mudah.my dan Carousell.

Apabila ditanya cabaran utama dalam menjalankan perniagaan atas talian , Umar menyatakan pada peringkat awal untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan agak sukar. Pelanggan awal beliau merupakan rakan-rakan sendiri. Meyakini kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh Umar, rakan-rakan beliau mula mempromosikan perniagaan Umar di media sosial mereka serta meninggalkan ulasan positif. Kuasa media sosial membolehkan Umar memperolehi lebih ramai pelanggan  sehingga UFD Technology  menjana jualan melebihi RM8000 dalam bulan pertama  beroperasi. Lebih menarik lagi, UFD Technology juga ditawarkan untuk menjadi “reseller” produk Todak Gaming , syarikat Malaysia yang membangunkan permainan dalam talian.

Umar membuktikan bahawa iltizam yang mendalam akan membuahkan hasil jika disertai dengan kesungguhan dan kejujuran. Graduan terutamanya perlu memiliki sikap seperti Umar yang melihat pandemik Covid-19 sebagai peluang untuk memajukan diri dan memanfaatkan peluang platform digital.

*Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Pengerusi Kelab Keusahawanan FSKM (Mohd Nazrul Mohd Amin) di nazrul@fskm.uitm.edu.my