SARAWAK, 26 OGOS 2024 – Pertandingan Debat Piala Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024 telah dijalankan baru-baru ini iaitu pada 23 Ogos 2024 sehingga 26 Ogos 2024 bertempat di UiTM Cawangan Sarawak.
UiTM Cawangan Melaka telah diwakili oleh empat orang ahli debat iaitu saudara Muhamad Harith Ariffin Abdul Hadi (BA111), saudara Muhammad Adz Arrief Hayat Zamri (MC110), saudari Nurmaizurah Riswady (BA132) serta saudara Aqmal Danial Haziq Ahmad Daud (MC110).
Salah seorang wakil UiTM Cawangan Melaka yang juga merupakan pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Kampus Alor Gajah, saudara Muhammad Adz Arrief Hayat Zamri muncul sebagai antara pendebat terbaik dalam pertandingan ini di mana beliau menduduki tempat ketujuh daripada 78 orang pendebat UiTM Se-Malaysia.
Pihak pengurusan dan seluruh warga FKPM UiTM Cawangan Melaka amat berbangga dengan pencapaian kesemua ahli debat yang mewakili UiTM Cawangan Melaka ke pertandingan besar ini di samping salah seorang daripada mereka yang berjaya menjadi salah seorang pendebat terbaik daripada keseluruhan peserta yang bertanding.
Kejayaan dalam penyertaan dan pencapaian ini diharapkan menjadi contoh terbaik kepada para pelajar yang lain di UiTM Cawangan Melaka untuk sentiasa menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik bukan sahaja di peringkat akademik bahkan dalam aspek kokurikulum. Kejayaan yang dicapai dalam kedua-dua aspek ini akan menjadi pakej bernilai dalam diri seseorang graduan dalam menempa ruang-ruang penting di peringkat industri pada masa hadapan apabila bersaing dalam dunia pasaran kerjaya yang serba mencabar pada hari ini.