Pelajar Fakulti Pendidikan sertai Misi Kemanusiaan ke Kemboja: Bentuk Bakal Pendidik yang Prihatin

Pelajar Fakulti Pendidikan Sertai Misi Kemanusiaan ke Kemboja: Bentuk Bakal Pendidik Yang Prihatin Dengan Perspektif Global
3 orang pelajar Fakulti Pendidikan yang terlibat di dalam misi kemanusiaan AGHUM 2019

Baru-baru ini, 3 orang pelajar Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja di bawah Asean Global Humanitarian Mission (AGHUM) 2019. Ketiga-tiga pelajar ini, Ain Sofiya Roslan, Nor Omairah Maheran dan Nor Syaza Nor Azhar merupakan pelajar semester 6, Program Pendidikan Seni dan Senireka di Fakulti Pendidikan.

AGHUM 2019 adalah inisiatif Kelab Penyayang UiTM dengan kerjasama Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS). Misi ke Kemboja ini merupakan program pengantarabangsaan Kelab Penyayang UiTM yang pertama dan telah disertai oleh 42 sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar UiTM.

Pelajar Fakulti Pendidikan Sertai Misi Kemanusiaan ke Kemboja: Bentuk Bakal Pendidik Yang Prihatin Dengan Perspektif Global
Antara aktiviti dan misi kemanusiaan yang dijalankan

AGHUM 2019 disasarkan sebagai program pengantarabangsaan berimpak tinggi melalui objektif yang berteraskan pencapaian dalam lima bidang iaitu pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan interaksi dengan masyarakat. Untuk siri pertama program ini, AGHUM 2019 memberikan tumpuan khusus kepada perkampungan di Wilayah Kampong Chhnang, Kemboja.

Antara usaha dan sumbangan yang telah diberikan termasuklah pembinaan sebuah pusat pengajian bagi menyokong pembelajaran luar sekolah, kerja-kerja menaiktaraf beberapa buah masjid; pemasangan 40 pam air, sumbangan 200 buah basikal kepada kanak-kanak yang masih bersekolah; pek kebersihan; pek barang runcit dan projek-projek yang mencambahkan aktiviti keusahawanan di kalangan wanita di wilayah tersebut.

Pelajar Fakulti Pendidikan Sertai Misi Kemanusiaan ke Kemboja: Bentuk Bakal Pendidik Yang Prihatin Dengan Perspektif Global
Para sukarelawan yang terlibat di dalam AGHUM 2019

Menurut Penasihat Kelab Penyayang UiTM, En. Sumardianshah Silah, yang juga merupakan Pengetua Kolej Perindu UiTM Shah Alam dan pensyarah di Jabatan Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan, Kelab Penyayang UiTM akan memastikan adanya kesinambungan projek-projek yang telah dilaksanakan di Kemboja ini. AGHUM akan dipanjangkan ke tahun-tahun yang seterusnya melalui pelaksanaan modul-modul pendidikan dan kesihatan yang bakal memberikan impak jangka panjang kepada penduduk wilayah berkenaan.

Tentunya penglibatan di dalam misi kemanusiaan dan kesukarelawanan seumpama ini bakal membentuk akal dan jiwa pendidik yang prihatin kepada masyarakat dan proaktif dalam menghulurkan bantuan. Fakulti Pendidikan bakal menganjurkan satu sesi perkongsian pada semester hadapan melibatkan ketiga-tiga pelajar yang terlibat di dalam misi kemanusiaan ini agar menjadi satu platform pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang lain.

Kredit foto:  AGHUM Mission UiTM