Pelajar Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian Mempersembahkan Rekaan Lampu Meja Melalui Teknik “Reverse Engineering”

Merbok, 30 Julai 2024 – Pelajar semester 2 daripada program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian (CAAD134) di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah telah berjaya mempamerkan rekaan lampu meja yang unik dan inovatif sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus IDD172 (Reverse Engineering). Sesi penilaian ini menonjolkan kepelbagaian penggunaan bahan dan teknologi dalam penghasilan produk-produk lampu meja yang mempunyai nilai estetika dan fungsi yang sesuai.

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada teknik kejuruteraan terbalik (Reverse Engineering), di mana mereka dikehendaki membuka komponen elektrik dan menganalisis rekabentuk lampu meja sedia ada sebelum menghasilkan rekaan baru yang lebih baik. Proses ini dimulakan dengan pembentangan projek dan lakaran idea oleh setiap pelajar, diikuti dengan lukisan teknikal yang lebih terperinci. Setiap rekaan melalui proses perbincangan dengan pensyarah kursus bagi memastikan arah tuju dan konsep yang diusulkan adalah praktikal serta inovatif.

Kreativiti Diterjemahkan Melalui Pelbagai Penggunaan Bahan dan Teknologi

Rekaan lampu meja yang dihasilkan pelajar mempunyai kepelbagaian bahan seperti pengunaan kayu mahogany, akrilik, simen, dan kayu getah. Selain itu, teknologi canggih seperti mesin laser dan cetakan 3D turut digunakan untuk memberikan kemasan yang berkualiti serta memenuhi keperluan teknikal dalam rekaan. Pelajar bukan sahaja berjaya menghasilkan produk dengan bentuk yang menarik, tetapi juga menambah nilai kepada fungsi asal lampu tersebut.

Penilaian akhir ini bertujuan mengukur tahap kreativiti dan inovasi pelajar dalam mereka bentuk produk menggunakan pendekatan kejuruteraan terbalik. Proses penilaian melibatkan aspek inovasi dalam rekaan, ketepatan teknikal, dan penggunaan bahan yang efektif. Pelajar dinilai bukan hanya pada hasil akhir, tetapi juga pada proses mereka dalam memahami dan mengintegrasikan konsep kejuruteraan terbalik ke dalam produk yang dihasilkan.

Keseluruhan hasil kerja pelajar menunjukkan pencapaian yang luar biasa, mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran praktikal yang digunakan di program ini. Artikel ini memberi gambaran jelas tentang bagaimana pelajar-pelajar ini telah mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari ke dalam projek sebenar, sekaligus menunjukkan potensi mereka dalam industri reka bentuk perindustrian.

Penulis : MOHD HAMIDI ADHA MOHD AMIN

Penulis Bersama : ZAIDI YUSOFF, MUHAMMAD AIMAN AFIQ MOHD NOOR