SHAH ALAM, 15 OGOS 2024 – Program University Motivator Competition (UMAC) peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dijalankan baru-baru ini iaitu pada 13 Ogos 2024 sehingga 15 Ogos 2024 bertempat di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam. Program ini merupakan inisiatif yang dijalankan di bawah anjuran Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM Shah Alam.
Salah seorang peserta yang juga merupakan pelajar Diploma Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM, Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, saudara Aqmal Danial Haziq Ahmad Daud merangkul kemenangan sebagai Naib Johan dalam satu anugerah yang dipertandingkan iaitu Anugerah Video Popular.
Pihak pengurusan dan seluruh warga FKPM UiTM Cawangan Melaka amat meraikan bakat para pelajar serta staf akademik mahupun pentadbiran dalam penyertaan aktiviti-aktiviti di peringkat dalam universiti serta di luar universiti. Aktiviti berkaitan sukan, kursus peningkatan diri, kepimpinan serta lain-lain lagi aktiviti yang dirujuk bermanfaat serta berupaya meningkatkan nilai tambah serta merit dalam diri individu amatlah digalakkan kerana bukan sahaja berupaya meningkatkan prestasi diri bahkan berupaya menyumbang kepada pihak universiti dari pelbagai sudut.
Kejayaan yang dicapai oleh saudara Aqmal Danial ini diharapkan dapat menjadi penyuntik semangat ke arah lebih banyak pencapaian berimpak tinggi di masa akan datang di samping turut menjadi contoh teladan yang baik kepada para pelajar yang lain.