KUALA LUMPUR, 23 MEI 2024 – Pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah menjalankan satu program pengajaran dan pembelajaran kolaboratif bersama pihak Planetarium Negara yang diketuai oleh Puan Siti Hajar Abdul Aziz, Pensyarah Kanan FKPM di samping disertai oleh empat orang Pensyarah FKPM.
Program yang membawa kepada penglibatan sejumlah 60 orang pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di Fakulti ini dirujuk sebagai inisiatif berguna dan signifikan dalam usaha untuk mendedahkan pelajar kepada ilmu astronomi serta perkaitan radio dengan komunikasi angkasa lepas.
Dalam tempoh program ini, para pelajar telah diberikan taklimat dan perkongsian khas oleh tiga orang penting di Planetarium Negara iaitu Tuan Hj. Shahruddin Bin Hj. Yusof selaku Pengarah Planetarium Negara, Encik Mohd Zamri Shah Mastor selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pencerapan) serta Encik Badrulhisham Bin Mohd Sany selaku Petugas di 9M2RPN Station Controller. Antara intipati penting perkara yang dikongsikan adalah berkaitan fungsi Planetarium Negara di peringkat kebangsaan untuk rujukan oleh pelbagai pihak.
Malah, pihak Planetarium Negara turut memberikan ruang dan peluang kepada para pelajar dan pensyarah untuk melawat, meneroka dan melihat sendiri stesen tanah microsatellite Malaysia (callsign Nine Mine Two Romeo Papa November – 9M2RPN) yang berfungsi sebagai pusat kawalan dan komunikasi dengan International Space Station (ISS) dan satelit-satelit kecil di samping menyaksikan lintasan ISS di orbit di atas ruang udara Kuala Lumpur iaitu kira-kira 480 km dari permukaan bumi dengan set up radio dua-hala serta pengesanan canggih yang dimiliki. Stesen tanah ini sering digunakan untuk menguruskan satelit pendidikan dan penyelidikan yang dilancarkan oleh institusi tempatan dan antarabangsa.
Sebagai contoh, projek seperti UiTMSAT-1, satelit nano yang dibangunkan oleh UiTM dan berjaya dilancarkan pada tahun 2018 menggunakan stesen tanah ini untuk berkomunikasi dan mengawal satelit tersebut. Dalam tempoh sekali setahun iaitu sempena Minggu Angkasa Sedunia, melalui kebenaran yang diberikan oleh pihak National Aeronautics and Space Administration (NASA), pelajar-pelajar sekolah terpilih berpeluang untuk berkomunikasi secara langsung dengan angkasawan yang berada di ISS. Perkara ini dijalankan bertujuan untuk menggalakkan minat terhadap bidang angkasa lepas, sains dan teknologi.
Program pengajaran dan pembelajaran kolaboratif ini ternyata memberikan implikasi yang besar serta signifikan kepada para pelajar dalam peningkatan pengetahuan berkaitan komunikasi angkasa lepas seiring dengan ilmu komunikasi yang dipelajari. Maklum balas pelajar secara majoritinya jelas menunjukkan bahawa pelajar gembira dengan program yang dijalankan di samping memberikan impak positif terhadap pengetahuan am mereka. Peluang penerokaan bidang komunikasi angkasa lepas yang diberikan dalam tempoh program ini adalah suatu pengalaman bernilai dan bermakna kepada mereka.
Penulis :Puan Siti Hajar Abdul Aziz, Dr. Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Puan Aini Faezah Ramlan, Encik Khairi Khairuddin