TAWAU, 16 OKTOBER 2021 (SABTU): Seramai 14 pelajar yang terdiri daripada 6 siswa dan 8 siswi Pra Diploma (Perdagangan) dan Pra Diploma (Sains) di bawah program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) sesi 1 2021/2022 telah mendaftar masuk ke kolej kediaman fasa pertama di UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau. Sebelum pelajar dibenarkan masuk ke kampus, mereka perlulah memenuhi syarat iaitu telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.
Terdahulu, sesi taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan pelajar ke kampus secara atas talian telah diadakan pada 7 Oktober 2021. Taklimat disampaikan oleh Encik Syahrizan Dahlan, Penyelia Asrama dan Encik Asmad Mohd Noor, Staf Residen Kolej untuk membantu para pelajar melengkapkan diri sebelum hadir ke kampus.
Pada semester Oktober 2021, para pelajar Pra Diploma di UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau masih melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian. Keadaan yang tidak kondusif, capaian internet yang terhad dan gangguan bekalan elektrik adalah sebahagian cabaran yang dihadapi oleh para pelajar di rumah semasa sesi PdP dilaksanakan. Ini semestinya akan memberikan kesan negatif terhadap tahap keberkesanan PdP atas talian.
Justeru, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi pada 14 September 2021 berkenaan kemasukan pelajar ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021 sangat ditunggu-tunggu oleh semua pelajar. Para pelajar berharap akan dapat mengikuti sesi PdP atas talian dengan lebih baik sekiranya mereka berada di dalam kampus.