Pelajar BEVA Menang Pelbagai Anugerah Di Majlis Apresiasi Pelajar FSPPP 2024

SEREMBAN, 8 November 2024 – Pihak Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban telah meraikan pemimpin-pemimpin pelajar fakulti bersempena penganjuran Majlis Apresiasi Pelajar 2024. Sebanyak enam kategori anugerah tokoh kepimpinan bagi setiap program akademik telah ditawarkan dan dipertandingkan bagi setiap program akademik prasiswazah FSPPP. Bagi program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) atau BEVA, seramai lima orang pelajar telah memenangi anugerah yang dipertandingkan.

Kategori pertama adalah Tokoh Kepimpinan. Tokoh Kepimpinan ini telah dimenangi oleh saudara Muhammad Mukhlis bin Ahmad Taufiq. Saudara Muhammad Mukhlis telah menyerlahkan bakat kepimpinan yang luar biasa sepanjang menjadi pemimpin dalam organisasi. Beliau merupakan Presiden Persatuan Intellectual Muslim Student Association (IMSAs) bagi sesi 2023/2024 dan Bendahari BEVA bagi sesi 2022/2023. Beliau turut aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian sama ada di dalam atau di luar universiti. Seterusnya adalah Tokoh Akademik yang telah dimenangi oleh saudari Nadia Zulaikha binti Halim. Anugerah ini telah diberikan kepada beliau kerana mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang serta berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester. Beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti anjuran Persatuan BEVA dan sering kali menjadi pengacara majlis bagi acara-acara anjuran persatuan.

Tokoh Keusahawanan pula dimenangi oleh saudari Dinah Zahirah binti Zulkifli. Saudari Dinah yang merupakan Setiausaha 1 Persatuan BEVA telah menunjukkan semangat juang dan pemikiran yang strategik sehingga berjaya dalam menerokai peluang dan mencipta nilai yang tinggi dalam aktiviti keusahawanan dan Penjanaan Pendapatan Persatuan. Beliau merupakan pengasas Gerobok BEVA iaitu satu program pengumpulan dan jualan barangan terpakai untuk dijual di dalam kawasan UiTM bagi mendukung SDG 12 iaitu Responsible Consumption and Production. Beliau dan kumpulan beliau juga telah berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan Malaysia Startup Challenge 2024 melalui idea Gerobok BEVA Business Model Canvas. Bukan itu sahaja, Tokoh Sukan dan Kebudayaan turut dipertandingkan. Tokoh Sukan dan Kebudayaan telah dimenangi oleh saudari Nur Darina Arissha binti S. Adi Putera. Beliau mempunyai bakat yang luar biasa dalam mempromosikan cara hidup sihat melalui aktiviti kesukanan dan memartabatkan seni kebudayaan dalam kalangan generasi muda. Beliau juga aktif dalam tarian zapin dan inang Melayu.

Tokoh Mahasiswa 2024 telah dinobatkan kepada saudari Nur Liyana binti Hussin, yang mana beliau telah berjaya mencipta jejak dalam pelbagai bidang. Pada majlis yang sama, beliau  turut menerima dua anugerah lain iaitu Tokoh Khidmat Masyarakat dan Tokoh Inovasi dan Kreatif. Hal ini adalah kerana beliau telah bergerak aktif dalam program kesukarelawanan dan khidmat masyarakat berkaitan kelestarian alam dan SDG yang dianjurkan oleh pihak persatuan. Beliau juga telah memenangi beberapa pertandingan inovasi pada pelbagai peringkat. Menurut beliau lagi, setiap pencapaian ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi sebagai penanda aras kepada generasi muda bahawa tiada batasan untuk berjaya. Penganugerahan ini juga membuktikan bahawa kejayaan diraih bukan hanya dari bakat namun hasil usaha berterusan dan komitmen tanpa henti yang ditunjukkan.

Kejayaan kumpulan pelajar ini membuktikan bahawa dengan menyeimbangkan pencapaian akademik dengan kegiatan persatuan dan kepimpinan, kita akan dapat membentuk keperibadian unggul. Semoga kejayaan yang dicapai pelajar-pelajar ini akan dapat dijadikan pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk turut menjadi harapan kepada generasi masa depan yang lebih gemilang.

Nama Penulis: Nur Liyana Hussin, Mohd Idham Mohd Yusof