Persatuan Peer Counselor UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan program mobiliti pengantarabangsaan ke Yogyakarta, Indonesia pada 21 Januari 2020 hingga 24 Januari 2020. Program ini melibatkan 22 orang peserta, 2 orang pensyarah, 2 orang Pegawai Psikologi serta Timbalan Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Ts. Dr Mohd Rozaiman Bin Aziz.
Agenda utama program ini adalah menjalinkan hubungan antarabangsa diantara Persatuan Peer Counselor UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan Fakultas Psikologi Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia. UGM merupakan universiti tertua di Indonesia manakala Fakultas Psikologi di UGM pula merupakan jurusan psikologi terbaik di Indonesia.
Persamaan di dalam bidang psikologi yang terdapat di UGM seiring dengan matlamat Persatuan Peer Counselor di UiTM Cawangan Pulau Pinang yang ingin melahirkankan pembimbing rakan kaunselor muda untuk lebih dekat dengan mahasiswa yang mempunyai masalah di universiti. Hal ini secara langsung menjadi objektif yang strategik untuk memilih UGM.
Delegasi dari UGM ini diketuai oleh En Mochamad Rifki Fahrurrazi, Wakil Dekan bagi Fakultas Psikologi, kaunselor, pensyarah serta beberapa orang mahasiswa. Hubungan kerjasama ini menekankan perkongsian kepakaran bidang psikologi dari UGM untuk mendedahkan para peserta kepada pengetahuan dan merasai pengalaman melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di Fakultas Psikologi UGM. Delegasi dari UiTM telah dibawa melawat ke makmal-makmal pembelajaran dan ruang kuliah yang ada di sekitar Fakulti Psikologi UGM. Antaranya adalah Lab mind, brain and behavior dan Unit Konsultansi Psikologi. Impak bagi kerjasama pengantarabangsaan ini dapat memberi kelebihan kepada organisasi pada masa hadapan.
Pengarah Program bagi Peer Kembara Ilmu 2.0: Jejak Yogyakarta ini, Cik Nurfatina Amira, 22, berkata program ini merupakan satu detik bersejarah kerana dapat menjalinkan hubungan antarabangsa antara UGM dengan Persatuan Peer Counselor, UiTM Cawangan Pulau Pinang. “Saya berasa bersyukur kerana dapat menjayakan program ini kerana hasil dari program ini, kerana UGM memberi pengetahuan yang luas kepada para peserta tentang penyakit kesihatan mental yang sering berlaku di kalangan mahasiswa pada masa kini dan cara mengatasinya serta lebih membuka minda peserta kepada dunia psikologi yang lebih mendalam dan menarik,” katanya.