PAUiTM kunjungi Naib Canselor baharu

Mohd Azraai (lima dari kanan) menerima kunjungan rombongan PAUiTM di Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu. – Foto IHSAN PAUiTM

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia (PAUiTM) mengadakan pertemuan rasmi dengan Naib Canselor baharu universiti itu, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Kunjungan itu yang diketuai Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan, dengan turut disertai Timbalan Presiden, Saiful Azhar Shaharun, dan Setiausaha, Shukri Ishak, antara lain membincangkan mengenai penubuhan Persekutuan Persatuan Alumni UiTM Malaysia.

Bendahari PAUiTM, Marlia Abd. Majid; Setiausaha Kerja, Afiza Aziz; serta barisan EXCO terdiri daripada Shamshul Ariffin, Shamsul Azlan, Tarmizi Abdul Rahman, Mohammad Hawari Madarshaib dan Norhafizatul Akma Shohor, juga hadir.

Mohd Azraai melahirkan rasa gembira dengan kunjungan berkenaan, di samping beliau diberi penerangan mengenai PAUiTM.

PAUiTM yang diasaskan semula pada 2008 adalah persatuan payung kepada 45 persatuan alumni fakulti dan cawangan UiTM seluruh negara.

Oleh: Syalikha Sazili
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/04/549988/pauitm-kunjungi-naib-canselor-baharu

0
0