PAUiTM kunjung hormat Menteri Kerja Raya

MENTERI Kerja Raya, Baru Bian (duduk tiga dari kiri), timbalannya Mohd Anuar Mohd Tahir (dua dari kiri) dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan (empat dari kiri) bergambar kenangan selepas kunjungan hormat persatuan itu ke atas kedua-dua alumni universiti itu di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto ihsan PAUiTM

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd Anuar Mohd Tahir, yang juga alumni universiti itu di Kementerian Kerja Raya di sini.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada siri lawatan untuk bertemu alumni dalam Kabinet baharu kerajaan, kerajaan negeri, peneraju syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau, Sarawak dalam ucapannya amat gembira dengan kunjungan itu dan berharap pelbagai kegiatan dapat diusahakan bagi memberi balik kepada universiti, terutama alumni dan masyarakat.

“Saya amat tertarik dengan yayasan yang ditubuhkan oleh alumni iaitu Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yang hasilnya telah dinikmat oleh penerima.

“Saya sendiri ketika belajar di ITM pada 1981 dalam jurusan undang-undang berasal dari keluarga yang miskin. Saya terpaksa merayu kepada Pengarah ITM pada masa itu iaitu Pok Nik (Datuk Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid) untuk mengurangkan bayaran yuran.  Walaupun yuran ITM cukup murah sekitar RM90 semester, saya tak mampu.” Akhirnya Pok Nik memberi pelepasan yuran kepada saya.

Saya cukup bersyukur kepada beliau.”Saya berharap yayasan TP1B ini dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membantu pelajar miskin seperti saya,” katanya yang mengikuti Diploma Undang-Undang di UiTM Shah Alam.

Timbalannya, Mohd Anuar pula berkata, jasa ITM/UiTM kepada beliau tiada ternilai.

“Jika saya mati dan hidup balik, saya akan tetap mahu menuntut di ITM. Ia sentiasa di hati saya,”  kata bekas penuntut jurusan Pengajian Perniagaan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh bersetuju membantu PAUiTM dalam beberapa aktiviti menjana kewangan alumni.

Mohd Anuar adalah bekas pemimpin pelajar Kesatuan Siswa ITM di ITM Jalan Othman pada tahun 1971.

Dalam kunjungan kira-kira hampir dua jam itu, Zaini turut menerangkan mengenai aktiviti persatuan yang dinaungi oleh lebih 650,000 alumni universiti itu.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAUiTM, Saiful Azhar Shaharun; Naib Presiden PAUiTM, Shamsul Azlan Mohd Nor; Setiausaha PAUiTM, Shukri Ishak; Presiden Alumni Kejuruteraan UiTM yang juga bekas Pengarah Urusan Proton, Datuk Kisai Rahmat; Pengasas Yayasan Kesenian Perak, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah; bekas Ketua Hal Ehwal Malaysia, Association of Chartered Certified Accountant (ACCA), Nik Roseli Mahmood; bekas Pengarah CIDB Wilayah, Datuk Othman Razali; Pengarah Urusan Prihatin Binaan Sdn Bhd, Datuk Nasarudin Ali dan Pengerusi Swir Resources, Datuk Ishak Jaafar.

Oleh: Wan Jailani Razak
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/453416/pauitm-kunjung-hormat-menteri-kerja-raya

0
0