Pasukan Sukarelawan KPT – UiTM Prihatin Gerak Aset Bantu Mangsa Banjir Di Baling

SUNGAI PETANI, 5 JULAI 2022 – Pasukan Misi Sukarelawan KPT – UiTM Prihatin daripada UiTM Cawangan Kedah telah bertolak ke Baling hari ini bagi membantu penduduk yang terkesan dengan banjir kilat akibat daripada hujan lebat yang berterusan selama tiga jam di Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas, Mukim Kupang.

Seramai 10 orang pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan Komander Kesatria, serta 15 orang kakitangan, termasuk Rektor UiTM Cawangan Kedah, YBhg. Prof. Dr Mohamad Abdullah Hemdi. Beliau yang juga mewakili Naib Canselor telah berlepas ke Baling tepat pada jam 12 tengah hari bagi menyantuni penduduk Baling yang terkesan akibat musibah ini terutamanya di kawasan terjejas, iaitu Taman Mesra, Baling.

Pasukan Misi Sukarelawan KPT – UiTM Prihatin membawa keperluan pascabanjir seperti peralatan pembersihan dan jet air bagi memudahkan proses pembersihan di lokasi kediaman yang terjejas. Pasukan UiTM Cawangan Kedah ini turut disertai oleh NGO Malaysian Relief Agency (Baling). MRA Kedah juga turut menyumbang barangan keperluan seperti kit hygiene dan pakaian kepada mangsa banjir.

Rektor UiTM Cawangan Kedah, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Abdullah Hemdi berkata, “Pihak UiTM, terutamanya UiTM Cawangan Kedah amat prihatin terhadap kejadian yang menimpa mangsa banjir di Baling. Sepertimana operasi sukarelawan pascabanjir di Yan sebelum ini, kami menghantar Pasukan Misi Sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang sentiasa bersedia membantu dari segi sumbangan tenaga dan barangan keperluan.”