Pasukan KPPIM UiTM Raih 10 Tempat Teratas Dalam Pertandingan Hackathon Antarabangsa

20 April 2024 – Kecekapan kemahiran teknikal dan solusi berinovatif di dalam bidang teknologi pertanian yang ditonjolkan oleh 4 orang pelajar Ijazah Sains Komputer dari KPPIM, UiTM Shah Alam telah melayakkan mereka dinobatkan antara 10 pasukan finalis terbaik di Varsity Hackathon 2024, di Universiti Sains Malaysia (USM) Penang. 

Pasukan Lettuce_Win yang diwakili oleh 4 orang pelajar Ijazah Sains Komputer dari KPPIM, UiTM Shah Alam telah menyahut cabaran menangani isu SDG-2: Zero Hunger dengan solusi inovatifnya ‘Greenstack’. ‘Greenstack’ merupakan aplikasi mudah alih yang disepadukan dengan sistem hidroponik, menggunakan ‘IOT Smart Sensors’ dan teknologi ‘Artificial Intelligence’. ‘Greenstack’ mampu mempercepat dan memudahkan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan sekaligus menawarkan penyelesaian kepada penanaman sayur dan buah di kawasan bandar yang lebih kos efektif, selain menyumbang kepada pembangunan pertanian di Malaysia. 

Pasukan yang dianggotai oleh Azlie Johari, Muhd Dzikrullah Kalana, Miqdad Zaidi dan Amir Sufi Zulkifli, di bawah bimbingan Dr. Sharifalillah Nordin, berjaya membangunkan aplikasi tersebut dengan memperkenalkan ciri-ciri seperti ‘Real Time Plant Health Monitoring’, ‘Automated Water Irrigation System using IOT Smart Sensors’ dan ‘Intelligent Plant Disease Detection System’. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500. Hadiah telah disampaikan oleh Dato Seri Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Varsity Hackathon 2024 merupakan pertandingan Hackathon peringkat antarabangsa anjuran USM Computer Science Society dan Securities Commission’s FIKRA ACE-EXCEL. Varsity Hackathon 2024 disertai 285 pasukan pelajar universiti tempatan dan antarabangsa dari 20 buah negara. Pertandingan ini memberi tumpuan kepada memupuk inovasi, kerjasama dan kreativiti di kalangan pelajar universiti, di samping menyediakan platform untuk mereka meneroka teknologi terkini serta mengubah idea mereka menjadi projek untuk Sustainable Development Goal (SDG).