Pasukan Debat ACIS Juara Debat Alam Melayu: Piala Timbalan Naib Canselor UiTM 2024

SHAH ALAM, 29 JUN 2024 – Pasukan debat Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam yang di wakili oleh saudara Muhammad Khairul Rasyid bin Yahya, saudara Muhammad Mujahid bin Zulkarnain dan saudara Mohammed Yahya bin Zakaria telah berjaya dinobatkan sebagai Johan Debat Alam Melayu: Piala Timbalan Naib Canselor UiTM 2024 anjuran Institut Pemimpin Muda, UiTM Shah Alam.

Pertandingan peringkat akhir yang di adakan di Dewan Kolej Seroja, UiTM Shah Alam telah menyaksikan persaingat sengit di antara ACIS menentang wakil pasukan debat Kolej Seroja. Untuk makluman, pertandingan Debat Alam Melayu ini  merupakan pertandingan yang diadakan buat julung kalinya. Program ini merupakan sebuah medium bagi mempertemukan wakil daripada Fakulti atau Kolej Kediaman UiTM Shah Alam untuk merebut gelaran juara.

ACIS amat berbangga menjadi Juara Sulung Debat Piala Timbalan Naib Canselor UiTM 2024 ini. Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada pertandingan ini menjadi motivasi dan pemangkin untuk siswa dan siswi ACIS lebih berani mencuba dan mengetengahkan bakat masing-masing. Tahniah buat semua yang berjaya mengharumkan nama ACIS.