SEREMBAN, 2 Disember 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), dengan sokongan Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban, telah berjaya menganjurkan program “Pasar SDG” sempena SDG Fiesta 2024. Program ini telah berlangsung selama sehari bertempat di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP) UiTM Kampus Seremban. Matlamat utama Pasar SDG adalah untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar FSPPP yang mana para pelajar telah diberikan peluang untuk mempromosikan produk mereka serta menjana pendapatan persatuan bagi menyokong aktiviti mereka pada masa hadapan.
Program ini telah melibatkan tujuh buah gerai jualan dan aktiviti keusahawanan dari persatuan dalaman FSPPP seperti BEVA, BacAS, CaSS, SASEA, VES, dan DiCADSS. Turut terlibat adalah persatuan FORENSC dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia yang menjual produk key-chain daripada hasil kayu terpakai dan sabun yang diperbuat daripada minyak terpakai. Jualan lain yang menarik perhatian pengunjung adalah jualan barangan preloved, makanan, dan produk jualan lain seperti Swedish meatball, Kek Batik Cheese Indulgence, Popia Bergedil, kain batik, dan lanyard. Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dengan kehadiran sekitar 400 orang pelajar dari UiTM Kampus Seremban, menjadikan jualan ini mampu mencatat keuntungan bersih keseluruhan sebanyak RM570.80.
Lebih daripada 20 orang pensyarah dan 250 orang pelajar FSPPP turut memberi sokongan dengan membeli makanan dan barangan yang dijual. Menurut Ketua Projek, Saudari Siti Khadijah Batrisyia Roslin selaku Exco Keusahawanan, Latihan & Penjanaan Kewangan BEVA, keunikan Pasar SDG pada kali ini terletak pada keupayaan persatuan dalaman FSPPP dalam menganjurkan jualan yang memenuhi cita rasa pelajar dan mengikuti trend semasa serta menerapkan nilai kelestarian dengan tidak menggunakan plastik sekali guna. Sepanjang program berlangsung, para pengunjung diminta untuk membawa beg mereka sendiri.
Hasil daripada jualan ini, persatuan BEVA dan kelab-kelab lain telah berjaya menjana pendapatan untuk menyokong pelaksanaan aktiviti pada masa akan datang. Pada masa yang sama, program ini memberi peluang kepada ahli kelab untuk mengasah kemahiran keusahawanan mereka, termasuk strategi pemasaran, pengurusan kewangan, dan pengendalian jualan.
Program Pasar SDG juga telah berjaya memenuhi dua Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) utama, iaitu SDG8 (Decent Work and Economic Growth) dan SDG12 (Responsible Consumption and Production). Selain itu, program ini selari dengan usaha serta PI pihak MASMED UiTM untuk melahirkan pelajar usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan di kampus dan fakulti. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara warga fakulti, malah memperluaskan sumber pendapatan kelab, membantu FSPPP mencapai objektif strategiknya, dan menjadi platform efektif dalam melahirkan pelajar berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam bidang keusahawanan.
Nama Penulis: Siti Khadijah Batrisyia Binti Roslin, Nur Nabilah Binti Mohd Nasir, Datin Dr. Syamaliah Ngah, Saidatul Akma Hamik, Mohd Idham Mohd Yusof, Zurina Md Nen