Pasar Percuma 
bantu warga kampus

SEBAHAGIAN penuntut memilih pakaian terpakai di sudut Pasar Percuma, Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM kampus Jengka, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 3 Okt. – Prihatin dengan kebajikan penuntut, pengurusan Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang kampus Jengka, dekat sini mengambil inisiatif dengan mewujudkan pusat sehenti yang mengumpulkan barang terpakai dikenali sebagai Pasar Percuma@PAB di perpustakaan tersebut.

Aktiviti kebajikan itu memfokuskan pengumpulan pa­kaian terpakai, barang ke­perluan diri dan buku rujukan yang disumbangkan oleh kakitangan UiTM Jengka dan PAB sendiri untuk dipilih dan diambil oleh penuntut secara percuma tanpa had.

Penyelaras program, Rosnita Ja’afar berkata, Pasar Percuma@PAB terletak di sudut cafe dalam perpustakaan itu diwujudkan sejak Jun 2016 bertujuan mengumpulkan seberapa ba­nyak pakaian terpakai dan keperluan tertentu sumbangan pensyarah serta kakitangan UiTM serta pustakawan di situ.

“Projek ini merupakan cetusan idea kakitangan PAB untuk menzahirkan nilai kemanusiaan bagi membantu kebajikan penuntut termasuk semua warga kampus supaya dapat meri­ngankan beban berbelanja keper­luan diri mereka khusus­nya pakaian sepanjang tempoh pengajian. Penuntut di sini dan semua kakitangan UiTM sendiri boleh mendapatkan pakaian terpakai termasuk keperluan lain. Sambil menelaah dan meminjam buku, mereka dapat menjengah di Pasar Percuma@PAB dan bolehlah memilih mengikut minat serta kesesuaian masing-masing,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Rosnita, projek Pasar Percuma@PAB itu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus yang sentiasa menyokong dengan menyumbangkan pakaian ha­rian lelaki dan wanita, tudung, uniform kokurikulum, kasut, selipar, beg dan bahan rujukan untuk sekolah serta universiti.

“Warga kampus dan penuntut di sini tidak perlu berasa malu malah dialu-alukan untuk memilih pakaian dan keperluan tertentu yang masih sempurna serta kelihatan baharu di sudut Pasar Percuma@PAB. Projek Pasar Percuma@PAB akan diteruskan sepanjang masa dan mengalu-alukan lebih banyak penyumbang untuk beramal membantu kebajikan penuntut dan seluruh warga kampus itu serta masyarakat setempat,” katanya.

 

Oleh: Haris Fadilah Ahmad
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/pasar-percuma-8232-bantu-warga-kampus-1.760221#ixzz5SwBnsvyw
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0