Pasangan diraja serikan sambutan Aidilfitri UiTM Perlis

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri majlis ‘Sambutan Aidilfitri UiTM Cawangan Perlis

ARAU- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis ‘Sambutan Aidilfitri Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang diadakan di Kompleks STAR kampusnya di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor, Zailuddin Ariffin, Timbalan-timbalan serta kepimpinan tertinggi universiti berkenaan.

Lebih 1,000 orang tetamu terdiri daripada mahasiswa dan juga warga kerja universiti beserta ketua-ketua jabatan kerajaan dan rakan strategik UiTM Perlis hadir bagi menikmati pelbagai juadah istimewa yang dihidangkan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas majlis itu menitahkan bahawa dalam era globalisasi merentasi ‘Revolusi Industri 4.0’, bidang keusahawanan diakui amat penting kerana ia bertindak sebagai pemangkin kepada ekonomi dan bina upaya kepada usaha meningkatkan inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara.

Malah, isu pengangguran bukan lagi terbatas di kalangan yang kurang berpendidikan sahaja bahkan dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi.

Masalah ini mampu memberi impak kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana graduan merupakan golongan terpelajar dan berupaya melakukan perubahan positif.

Pendedahan kepada keusahawanan di kalangan mahasiswa merupakan salah satu strategi terbaik bagi menggalakkan tenaga muda negara menjadi usahawan. Mereka bukan sahaja boleh membantu masyarakat dengan menawarkan peluang pekerjaan bahkan menyumbang kembali kepada universiti sebagai alumni pada suatu masa kelak.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pasangan-diraja-serikan-sambutan-aidilfitri-uitm-perlis-1.925923


0
0