Parlimen Mahasiswa UiTM: Wadah Utama Kepimpinan dan Aspirasi Mahasiswa

PUNCAK ALAM, 19 OKTOBER 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Selangor (UCS) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Sekretariat Parlimen Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor Sesi 2023/2024 telah menganjurkan Program Parlimen Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor Penggal Ketiga. Program ini bertujuan untuk menyahut seruan agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang dicetuskan oleh Mantan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Khalid Nordin. Penganjuran program ini juga selari dengan objektif strategik HEP UiTM dalam membantu UiTM melahirkan graduan yang mempunyaI kemahiran insaniah yang tinggi dan berpersonaliti unggul untuk memenuhi keperluan global.

Program ini disertai oleh seramai 70 orang Ahli Dewan yang terdiri daripada wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UCS Sesi 2023/2024, Presiden, Yang DiPertua, serta wakil Persatuan dan Kelab Dalaman yang berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) UCS. Sepanjang persidangan, beberapa teras usul utama telah dibincangkan secara mendalam. Ini termasuk Teras Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), Teras Pembangunan Mahasiswa yang merangkumi Usul Penstrukturan Semula Yuran Pengajian UiTM, serta Usul Membenarkan dan Menggalakkan Penubuhan Persatuan Anak Negeri di UiTM. Selain itu, Teras Kebajikan Mahasiswa yang membincangkan Usul Penambahbaikan Kualiti Trafik melalui Peningkatan dan Pelaksanaan Infrastruktur Kemudahan Jalan Raya turut mendapat perhatian.

Semua usul yang telah dibahas dan diluluskan akan diangkat ke peringkat pengurusan tertinggi UCS untuk pertimbangan selanjutnya. Program ini diakhiri dengan ucapan penggulungan oleh Professor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, diikuti dengan penyerahan Resolusi Parlimen Mahasiswa UCS Penggal Ketiga kepada beliau dan simbolik penyerahan tugas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) Sesi 2024/2025. Penganjuran Program Parlimen Mahasiswa UCS juga berjaya mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksaksamaan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan & Pertubuhan Kukuh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Selain itu, program ini turut memenuhi beberapa Performance Indicator (PI) penting Universiti Teknologi MARA (UiTM) termasuk PI029 (Bilangan Program Kepimpinan), PI035 (Bilangan Pelajar yang Terlibat dengan Aktiviti Kepimpinan), PI038 (Bilangan Program/Modul Berkaitan Patriotisme dan Inisiatif ESI-IDART), serta PI040 (Bilangan Pelajar yang Terlibat dengan Program Skill Komunikasi). Dengan kejayaan program ini, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Selangor Sesi 2023/2024 berharap Parlimen Mahasiswa UCS akan terus menjadi platform yang berkesan untuk memperkasakan suara mahasiswa dan menyumbang kepada pembangunan yang lebih inklusif serta progresif di UiTM dan negara secara keseluruhan.