PARLIMEN MAHASISWA UiTM SHAH ALAM: MEMBANGUN SUARA MAHASISWA

SHAH ALAM, 5 NOVEMBER 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan bangga mengumumkan pelaksanaan Parlimen Mahasiswa, satu inisiatif yang bersejarah dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Ini adalah pertama kalinya UiTM Shah Alam menganjurkan acara ini yang dijangka menjadi platform penting untuk memupuk kepimpinan pelajar dan membangun kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa. Parlimen Mahasiswa ini telah diadakan pada 4 dan 5 November 2023 bertempat di Dewan Senat, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam yang melibatkan 70 orang perwakilan terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil persatuan berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

Tiga teras utama telah dibahaskan iaitu Penubuhan Jawatankuasa Induk Pilihanraya Pelajar, Teras Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa. Dewan telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Induk Pilihanraya Pelajar (CEC) yang akan bertanggungjawab untuk menguruskan Pilihanraya Kampus. Keputusan ini selaras dengan usaha pemerkasaan mahasiswa dengan memberi autonomi kepada pelajar untuk menguruskan pilihanraya kampus sepenuhnya. Selain itu, dewan telah mencadangkan peningkatan dalam aspek pengangkutan dengan mewujudkan pendigitalan sistem pengangkutan UiTM Shah Alam, mengkaji semula tempoh pergerakan pelajar di dalam dan luar kampus, serta meningkatkan ruang parkir kereta dalam kampus. Keputusan ini bertujuan meningkatkan keselesaan pelajar dalam pengangkutan dan aktiviti di kampus. Dalam pada itu, dewan telah mencadangkan penubuhan Hab Keusahawanan Pelajar di dalam kampus dan memperkasakan peluang pekerjaan mahasiswa. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk membangunkan potensi keusahawanan mereka dan memperluaskan peluang pekerjaan di dalam kampus.

Parlimen Mahasiswa yang pertama kali dianjurkan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). “Program Parlimen Mahasiswa kita untuk sidang pertama ini telahpun mencapai objektifnya. Sesi perbahasan yang kritis dan meriah, menunjukkan bahawa mahasiswa UiTM amat cakna dengan isu semasa yang berlaku di dalam kampus. Saya akan berusaha sehabis baik bagi mengangkat cadangan yang diutarakan kepada pihak pengurusan.”, ujar beliau menerusi ucapan penggulungannya.

Keputusan yang diperoleh dalam Parlimen Mahasiswa ini mencerminkan semangat dan hasrat mahasiswa UiTM untuk berperanan aktif dalam membangunkan kampus mereka. Ia juga merupakan langkah pertama dalam usaha kita untuk memperkukuhkan kesedaran sosial dan politik dalam kalangan mahasiswa. Usaha ini adalah selaras dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjayakan Pemerkasaan Mahasiswa. Parlimen Mahasiswa UiTM menjadi platform penting yang akan memberi peluang kepada mahasiswa untuk membangunkan pemikiran kritis, kepimpinan yang berkesan, dan kesedaran sosial yang tinggi. UiTM berharap agar inisiatif ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.