Pandemik Covid 19 Bataskan Aktiviti Pembelajaran

Semenjak dunia dilanda pandemik covid19 pada penghujung 2019, ia telah memberi impak yang besar kepada sektor Pendidikan di peringkat pengajian tinggi yang mana pembelajaran secara dalam talian telah diperkenalkan. Tahun pertama telah memperlihatkan keadaan yang agak kekok dikalangan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia. Akan tetapi, pada tahun kedua pandemik melanda negara, pembelajaran dalam talian menjadi semakin rancak dan aktif serta tenaga pengajar semakin kreatif dan inovatif dalam penyampaian pembelajaran kepada pelajar.

Ini dibuktikan dengan kehadiran pelbagai webinar dan aktiviti merentas negara yang dianjurkan oleh pelbagai fakulti di institut pengajian tinggi di Malaysia. Pusat Pengajian Senibina Dalaman dibawah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Cawangan Selangor juga tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan negara luar bagi mengadakan aktiviti di peringkat antarabangsa.

Sebuah program perkongsian ilmu senibina dalaman telah berlansung pada 6 sehingga 27 September 2021 yang dinamakan sebagai International Design Lab and Competition (IDL+C) 2021. Ia merupakan sebuah program kolaborasi di antara Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD) dengan Himpunan Desainer Interior Indonesia (HDII) JKI Jakarta melalui beberapa siri design lab dan webinar antarabangsa secara atas talian.

Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada dua puluh orang mentor dari kalangan pensyarah senibina dalaman Malaysia dan Indonesia serta empat puluh pelajar senibina dalaman juga dari Malaysia dan Indonesia. Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar, program ini telah diuruskan oleh 11 ahli jawatankuasa dari Pusat Pengajian Senibina dalaman, FSPU, UiTM dan 10 ahli jawatankuasa dari pelbagai institusi pengajian tinggi Indonesia.

Krisis pandemik yang masih berlaku di Malaysia dan Indonesia tidak sama sekali menghalang aktiviti yang dijalankan sepanjang program kerjasama Malaysia-Indonesia, IDL+C 2021 ini. Kaedah aktiviti atas talian telah memudahkan interaksi antara negara tanpa sempadan dan membuka dimensi baru dalam hubungan kolaborasi dua negara. Aplikasi digital yang digunakan sepanjang program adalah Google Meet, Google Classroom, Google Drive, Zoom, Telegram, WhatsApp, Miro dan juga Webex. Penggunaan aplikasi digital dan platform atas talian adalah inovatif dan seiring dengan kemajuan pendidikan senibina dalaman pada masa kini.

Program ini adalah berbentuk pertandingan rekabentuk bertemakan ‘Interior Design in Endamic’. Sebanyak sepuluh kumpulan cuba merekabentuk ruang dalaman yang sesuai untuk fasa endemik. Program ini dibuka dengan dua siri webinar antarabangsa, empat siri ‘design lab’ dan ditamatkan dengan persembahan akhir cadangan rekabentuk ruang dalaman tersebut oleh sepuluh kumpulan serta satu sesi webinar penutup sebagai perkongsian ilmu dari penceramah antarabangsa.

Program IDL+C 2021 ini telah membuka minda dan perhatian kebanyakan pelajar dan pensyarah senibina dalaman dari institusi pengajian tinggi di Malaysia mahupun di Indonesia. Selain daripada termeterainya MOU di antara Himpunan Desainer Interior Indonesia (HDII) JKI Jakarta dengan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, aktiviti kolaborasi antarabangsa ini telah dapat mempromosikan sumbangan kreatif pelajar senibina dalaman dalam merekabentuk ruang yang boleh digunapakai semasa pandemik ini. Hasil rekaan dari ide kreatif 2 negara ini juga telah memaparkan solusi rekaan khas terhadap ruang dalaman bagi menangani isu-isu pandemic masa kini. Ini adalah sebuah kejayaan besar bagi Pusat Pengajian Senibina Dalaman yang telah berjaya menjalankan aktiviti kolaborasi antarabangsa dengan jayanya.